Evelyn, wanita berusia 100 tahun kongsi sambutan Krismas

Menetap di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka, wajik dan dodol antara juadah akan disediakannya sempena hari istimewa tersebut

9:20 PM MYT

 

MELAKA – Menginjak usia 100 tahun, Evelyn Lowe masih mampu mengingati setiap detik kehidupannya dengan baik terutama menjelang sambutan Krismas setiap tahun.

Menetap di Perkampungan Portugis di Ujong Pasir di sini, dia berkata, wajik dan dodol antara juadah akan disediakannya di samping Kari Debal, Chap Chai, Chilie Pickle atau acar cili dan beberapa jenis kek yang dibuat sendiri sebagai simbolik meraikan perayaan.

“Sama seperti orang Islam meraikan Hari Raya, saya akan buat sendiri wajik dan dodol untuk dijamu kepada tetamu yang bertandang.

“Namun, atas faktor usia serta pernah cedera di pinggang kerana jatuh kerusi beberapa tahun lepas, saya tidak lagi memasak juadah-juadah berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Ibu kepada 10 anak itu berkata, perayaan Krismas juga disambut secara sederhana pada setiap tahun kerana anak-anaknya juga sudah berusia dan tinggal berjauhan.

Evelyn berkata, anak-anaknya tinggal di Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan ada juga yang telah berhijrah ke Singapura dan Australia.

“Suami meninggal dunia kira-kira 35 tahun dahulu dan dua anak lelaki saya juga telah meninggal dunia beberapa tahun.

“Kerana faktor umur dan kesihatan, anak-anak lain juga tidak pulang menyambut Krismas kali ini. Mereka ada meminta saya untuk tinggal bersama mereka namun saya memilih untuk tinggal di sini dan mereka mengupah jururawat untuk menjaga saya,” katanya.

Mengimbas kenangan ketika mereka sekeluarga masih bersama-sama, Evelyn berkata dia dan pasangannya mendiang Maurice Lowe, akan memulakan sambutan perayaan dengan pergi ke gereja berhampiran rumah sebelum ke gereja utama St. Peter’s di Jalan Bendahara.

Katanya, mereka sekeluarga kemudiannya akan menjamu selera dengan hidangan yang disediakannya termasuklah wajik dan dodol.

Ditanya mengenai rahsia dirinya masih mempunyai ingatan kuat dan kesihatan yang masih baik, dia berkata kehidupan zaman dahulu tanpa bantuan teknologi menyebabkannya masih sihat.

“Kalau ke hospital, doktor terkejut apabila mendapat tahu saya telah mencecah usia 100 tahun dan masih mampu mengingati bahasa Portugis dengan baik, mereka suka menguji daya ingatan saya.

“Masyarakat dahulu banyak berjalan kalau nak ke mana-mana… mungkin itu antara penyebab saya masih sihat sampai sekarang kecuali kecederaan di pinggang ini,” katanya. – 24 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related