KUALA LUMPUR — Tekanan air di kawasan Jeram sudah kembali pulih secara berperingkat sejak 8 malam semalam malah tahap pengeluaran air di loji rawatan air telah berada pada tahap maksimum.
Jurucakap Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, bekalan air dijangka kembali pulih pada jam 6 pagi esok.
Jelasnya, tindakan awal bagi mengawal agihan dan menyalurkan bekalan alternatif telah dilaksanakan bagi memastikan bekalan air stabil pada musim perayaan.
“Air Selangor juga telah bertindak menghantar tiga lori tangki air ke kawasan yang terlibat bagi membantu pengguna mendapatkan bekalan air sementara menanti bekalan pulih sepenuhnya,’’ katanya kepad Scoop ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas mengenai penduduk di Kg Bukit Kuching, Bukit Cherakah, Bukit Hijau dan Parit Mahang di Jeram yang mengeluh kerana sejak beberapa hari lalu mengalami gangguan bekalan air.
Bukan itu sahaja, penduduk mendakwa tiada notis dikeluarkan oleh Air Selangor mengenai gangguan bekalan air malah tiada penyelesaian diberikan.
Kemarahan tersebut diluahkan menerusi Facebook Air Selangor, namun isu tersebut masih belum selesai.
Menurut salah seorang penduduk dikenali sebagai Nurul Ashyikin, dia telah dua kali membuat aduan namun jawapan yang diterima adalah masih dalam siasatan. – 24 Disember, 2023