Iktibar kisah Ashabul Kahfi: ‘Ia tidak sepatutnya jadi polemik membingitkan’

Mufti Pulau Pinang menegaskan ia perlu ditangani dengan tenang, dinilai dengan hati yang jernih

1:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Isu berkaitan iktibar daripada kisah Ashabul Kahfi yang disentuh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri minggu lalu tidak sepatutnya menjadi polemik membingitkan jika ditangani dengan tenang dan niat yang ikhlas untuk menemukan kebenaran.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagi yang tidak atau kurang mendalami ilmu perbandingan agama dan sejarah nabi-nabi, sudah tentu sukar bagi mereka memahami isu itu secara jelas.

Menurut beliau, ia sebenarnya berkait dengan akidah tauhid yang diyakini oleh tujuh pemuda yang berlindung di dalam sebuah gua demi memelihara dan mempertahan keyakinan tersebut.

“Disebabkan istilah ‘Kristian’ maka seluruh Malaysia menjadi riuh rendah dengan pelbagai pihak memberi respons dan komen yang bercampur baur antara input akademik dan tujuan politik.

“Sepatutnya isu ini tidak menjadi polemik yang membingitkan sekiranya ia ditangani dengan tenang dan dinilai dengan hati yang jernih dan niat yang ikhlas untuk menemukan kebenaran.

“Punca kekeliruan berkaitan isu ini adalah kerana istilah ‘Kristian’ yang digunakan oleh PM (Perdana Menteri) di dalam ucapan beliau apabila merujuk kepada Ashabul Kahfi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, perlu dijelaskan bahawa kawasan Asia Barat pada masa itu berada di bawah pemerintahan Rom Timur yang juga dikenali sebagai Empayar Byzantium, sedangkan agama empayar ini adalah Paganisme.

Malah katanya, para ulama tafsir dan ahli-ahli sejarah berbeza pandangan tentang zaman kejadian itu dan ramai berpendapat ia berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa dan ada yang berpendapat ia berlaku selepas kelahiran baginda.

“Susulan perbezaan pandangan ini maka berbezalah pula tentang agama mereka. Jika peristiwa ini berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa maka sudah tentu mereka bukan beragama Kristian. Begitu sebaliknya jika peristiwa ini berlaku setelah Nabi Isa lahir maka logiknya mereka beragama Kristian iaitu agama yang dijenamakan sempena nama beliau Jesus Christ menurut sebutan orang Barat,” katanya.

Beliau menambah, perlu diketahui daripada perspektif Islam, sekelian Rasulullah adalah menyeru kepada agama yang sama iaitu Islam dalam pengertiannya yang umum; menyerah kepada kehendak Allah SWT berpaksikan kepada akidah tauhid (kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa).

Namun katanya, di dalam perjalanan sejarah yang lama maka berlakulah penyelewengan terhadap ajaran tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi Allah tersebut.

“Diharap tulisan ini dapat memberi sedikit pencerahan tentang latar belakang isu Ashabul Kahfi. Polemik ini tidak perlu diperbesarkan sehingga menambahkan kekeliruan masyarakat awam,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar melahirkan rasa kesal dengan kegopohan seorang pendakwah yang telah mengeluarkan bahasa kasar hingga membuat tohmahan bahawa pemimpin negara sebagai sesat serta jahil ketika membincangkan iktibar daripada kisah Ashabul Kahfi.

Malah katanya, tuduhan tersebut amatlah ekstrem serta keterlaluan.

Dalam pada itu, Anwar turut menegur tindakan segelintir pendakwah yang terburu-buru mengupas sesuatu isu yang disifatkan beliau lebih mengikut sentimen politik.

Perdana Menteri berkata, seharusnya pihak terbabit menyemak terlebih dulu fakta sebelum membuat sebarang penjelasan kepada orang ramai.

Komen itu dipercayai merujuk ulasan seorang penceramah terkenal yang tular di media sosial mengenai kenyataannya berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi.

Tanpa memperincikan pendakwah berkenaan, Anwar mengakui kenyataan disentuh agamawan itu berkait ucapannya pada majlis bersama penjawat awam itu. — 24 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related