Siasatan aset pemilikan Daim Zainuddin: ‘Kita akan panggil beliau pada suatu masa yang sesuai’

Ini susulan tindakan SPRM menyita bangunan Menara Ilham yang mempunyai kaitan dengan bekas Menteri Kewangan itu

11:12 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Tun Daim Zainuddin bagi siasatan terhadap perolehan pembelian-pembelian aset dan perniagaan milik tokoh konglomerat terkenal itu.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Scoop susulan tindakan suruhanjaya itu menyita bangunan Menara Ilham yang mempunyai kaitan dengan bekas Menteri Kewangan itu baru-baru ini.

“Ya kita (SPRM) sedang menyiasat segala aset miliknya (Daim).

“Kita juga akan memanggil beliau pada suatu masa yang sesuai,” katanya ringkas hari ini.

Dalam laporan media hari ini, Azam mengesahkan siasatan terhadap Daim oleh SPRM menjurus kepada perolehan pembelian-pembelian aset dan perniagaan milik Daim.

Sumber mendedahkan, siasatan itu menumpukan bagaimana pemilikan aset yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan itu dibuat dan sumbernya.

Kata sumber itu seperti dipetik daripada Mingguan Malaysia, selain bangunan Menara Ilham, hartanah seperti hotel dan institusi perbankan dipercayai di luar negara yang mempunyai kaitan dengan Daim juga disiasat.

Katanya, setakat ini, hartanah, bank atau perniagaan ada yang telah dikenal pasti oleh SPRM dan ada sedang disahkan terutama berada di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan yang dilakukan terhadap Daim.

Beliau turut memberi jaminan tindakan sitaan bangunan Menara Ilham yang dikeluarkan menerusi notis tidak akan menjejaskan operasi dan urusan di bangunan tersebut.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan supaya pemimpin tidak dilihat sebagai melindungi perasuah besar.

Anwar berkata, SPRM menjalankan tugas tanpa mengira kedudukan sama ada ia adalah Tun atau Tan Sri bagi mengelakkan ada kritikan hanya bawahan ditangkap.

Isnin lalu, bangunan Menara Ilham di Jalan Binjau di sini disita SPRM.

Azam mengesahkan penyitaan itu namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Notis penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 itu disiarkan dalam ruangan notis pemberitahuan sebuah portal berita dalam talian.

Menurut notis itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita harta tak alih bagi bangunan Menara Ilham di atas geran 75830, bernombor Lot 20002, yang mempunyai alamat di No. 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] setelah berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pegawai SPRM.

Notis terbabit turut melarang segala urusan tentang harta tak alih, selain dengan serta-merta mencatatkan terma notis tersebut pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu di dalam Daftar pejabat Pendaftar Hak Milik.

Pada Mei lepas, SPRM dilaporkan sedang menyiasat seorang tokoh korporat berhubung kes penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.

Siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen sulit oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Siasatan itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – 24 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related