Saling menghormati agama lain kunci keharmonian, ‘jangan sentuh isu sensitif’

Malaysia adalah negara majmuk yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum berbeza agama dan budaya, justeru sikap bertolak ansur juga amat dituntut

5:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Setiap individu bebas melakukan upacara keagamaan masing-masing asalkan tidak mengganggu ketenteraman orang lain, terutama membabitkan jiran terdekat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sewajarnya setiap rakyat Malaysia perlu sentiasa bertolak-ansur dan saling hormat-menghormati, lebih-lebih lagi berkaitan isu sensitif, seperti agama.

Katanya, Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum berbeza agama dan budaya.

“Susulan itu, sikap bertolak ansur dan saling hormat-menghormati antara semua pihak amatlah dituntut bagi memelihara keharmonian antara kaum.

“Ini termasuk meliputi kemampuan memelihara sensitiviti dalam hal berkaitan upacara keagamaan supaya tidak mengganggu atau tidak disenangi mana-mana golongan,” katanya kepada Scoop.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki dengan memakai tuala dan berbaju kemeja-t hitam keluar dari unit kediamannya, sebelum mengamuk dengan jiran di hadapan rumah, iaitu seorang wanita sehingga mereka bergaduh mulut.

Dalam kejadian di Skudai, Johor berkenaan, lelaki itu mendakwa wanita terbabit membuat ‘bising’ ketika bersembahyang dan ia mengganggunya pada lewat malam.

Wanita itu dikatakan membunyikan loceng ketika sedang bersembahyang pada tengah malam di hadapan pintu rumah sendiri di bahagian dalam gril.

Menerusi hasil siasatan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kes itu berpunca daripada perselisihan faham akibat bunyi bising, sehingga menimbulkan ketidakselesaan penghuni lain.

Kes itu, katanya, disiasat di bawah Seksyen 13(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Wan Salim berkata, semua pihak diharap boleh bertoleransi di antara satu sama lain, seperti dilakukan Jabatan Mufti Pulau Pinang ketika berdepan isu penggunaan pembesar suara di masjid di negeri berkenaan yang menjadi kontroversi suatu masa dahulu.

“Seperti kita semua tahu isu di Pulau Pinang dahulu, kami di Jabatan Mufti Negeri sering menasihatkan jawatankuasa masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang, supaya tidak menggunakan pembesar suara untuk program keagamaan dan aktiviti lain, kecuali untuk laungan azan dan iqamah.

“Tujuan larangan ini adalah supaya tidak mengganggu ketenteraman penduduk yang tinggal berhampiran masjid. Walaupun keputusan ini dibantah segelintir masyarakat Islam, selepas diberi penjelasan, semakin ramai memahami mengapa keputusan itu dibuat.

“Jadi, kami mengharapkan agar ketua agama lain juga melakukan tindakan sama demi memelihara keharmonian dalam hubungan antara kaum di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Persatuan Hindu Sevai Sangam, Parthiban Ramachandran berkata, apa harus diingati setiap rakyat di negara ini adalah Malaysia dihuni masyarakat pelbagai agama dan kepercayaan.

Menurutnya, sekiranya sebagai penduduk di perumahan berkenaan mereka mempunyai semangat kejiranan yang baik, sudah tentu tidak akan tercetus masalah pergaduhan mulut seperti itu.

Parthiban berkata, secara peribadi tanpa menyebelahi mana-mana pihak, beliau berpendapat seharusnya lelaki terbabit lebih bertenang dan tidak terburu-terburu ‘menyerang’ jirannya, malah perlu sentiasa menghormati agama serta kepercayaan kaum lain.

“Kalau lihat dalam video tersebut, lelaki itu dia (bersikap) agresif, marah… saya rasa kemarahan itu adalah punca kepada masalah macam ini. Kita harus lebih bertenang, tidak marah-marah, hormat dan terima kepercayaan orang lain.

“(Lagipun) Loceng itu tidaklah bising sangat sebab dalam rumah, (saiz) loceng boleh dipegang dengan tangan sahaja.

“(Saya percaya) Loceng itu akan keluarkan bunyi lebih rendah daripada bunyi alarm (penggera jam) kita,” katanya.

Dalam pada itu, aktivis masyarakat dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye ketika mengulas isu pergaduhan mulut antara jiran terbabit berpendapat, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) perlu bertindak bagi mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sepatutnya JPNIN campur tangan untuk mencari penyelesaian di antara kedua-dua pihak. Jabatan terletak di bawah Kementerian Perpaduan Negara berkenaan ada di setiap negeri dan seharusnya pegawainya melawat kedua-dua individu terbabit, bawa mereka duduk dan berbincang bersama, ini yang saya harapkan.

“Saya tak anggap (isu) ini sebagai jenayah, (sebab) ia bukan kes mencederakan mana-mana pihak cuma harus diselesaikan dengan cara berkesan,” katanya.

Lam Thye turut berharap agar perkara itu dapat diatasi segera agar keharmonian di antara kaum terjaga, dengan semua rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai seperti biasa.

“Perkara seperti ini memang kalau tidak diatasi, kemungkinan akan cetuskan suasana tidak baik di antara kedua-dua kaum.

“Sehubungan itu, saya harap ia dapat diselesaikan secara baik di antara pihak terlibat,” katanya. – 24 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Related