Harga barang naik, ‘kerajaan macam tak buat apa-apa’: Persepsi atau realiti?

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjawab segala persoalan rakyat mengenai kos sara hidup

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – “Telur, naik harga, ayam pun naik harga, beras mahal. Apa kerajaan buat ya? Takkan tak boleh nak kawal semua harga barang? Sampai bila kita nak kena tanggung semua beban kos sara hidup? Kerajaan tak buat apa-apa?”

Itu antara persoalan-persoalan yang sering dilontarkan rakyat ketika ini. Seolah-olah kerajaan gagal menangani kos sara hidup. Benar atau itu hanyalah persepsi?

Untuk itu wartawan Scoop, METRA SYAHRIL MOHAMED, dibantu juruvideo, RIDUAN RIZAL AHMAD dan jurukamera, ALIF OMAR, menemu bual Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, FUZIAH SALLEH bagi menjawab segala yang diperkatakan rakyat ketika ini. Beliau turut berkongsi mengenai pencapaian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang tahun ini serta perancangan bagi 2024.

Dalam temu bual sama, Fuziah turut ditanya mengenai kritikan pembangkang dan netizen terhadap KPDN selain setahun perjalanan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui kerjasama parti-parti politik.

SCOOP: Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat pencapaian KPDN sepanjang tahun ini?

FUZIAH: Untuk setahun ini saya kira ia merupakan tahun yang mencabar bagi KPDN terutama apabila di pertengahan tahun kita kehilangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, menteri kita. Jadi di sebab bahagian kedua tahun itu memang saya terpaksa membantu menerajui.

Walau bagaimanapun kita meletakkan asas Rahmah itu dengan kuat, yang lain itu berjalan dan ada penambahbaikan tetapi kita merasakan jenama Rahmah ini menjadi jenama yang begitu kuat. Ia satu pencapaian yang boleh kita banggakan sebagai pencapaian KPDN.

Bila rakyat berdepan isu kos sara hidup, inisiatif-inisiatif kerajaan ini terutamanya KPDN rencanakan selama ini, YB rasa ia dapat dinikmati seluruh rakyat atau ada program-program yang masih belum mencapai matlamatnya?

Kita dapati inisiatif contohnya Inisiatif Rahmah, sekarang ini kita belum ada melaksanakan penyasaran subsidi. Pada tahun 2024 baru kita akan memulakan inisiatif penyasaran subsidi. Jadi apabila tahun ini kita nak memastikan bahawa orang yang paling terkesan itu mendapat manfaatnya. Bagaimana?

Apabila kita buat Menu Rahmah, contohnya, dan ada orang kata tidak semua nak makan (makanan) Menu Rahmah. Tapi yang pentingnya orang yang perlu Menu Rahmah itu dapat cari Menu Rahmah, itu yang pentingnya.

Dengan wujudnya Menu Rahmah di rangkaian-rangkaian restoran, kedai-kedai pengusaha makanan, sebanyak lebih 2,894, kita dapati ia dapat sampai kepada mereka yang memerlukan dan mereka amat berterima kasih.

Alhamdulillah mereka ini bertahan, Menu Rahmah bertahan dan kita telah memperkenal Kad diskaun Menu Rahmah, supaya dapat memberi diskaun kepada pengusaha ini apabila mereka berbelanja untuk barang-barang keperluan meniaga di rakan-rakan strategik. Kita ada enam rakan strategik iaitu Giant, Mydin, Econsave, NSK, Lotus dan Aeon Big.

Dengan wujudnya Menu Rahmah di rangkaian-rangkaian restoran, kedai-kedai pengusaha makanan yang melibatkan 2,894 penyertaan, ia sampai kepada mereka yang memerlukan dan mereka amat berterima kasih. – Gambar Bernama, 24 Disember, 2023

Rakan strategik kita akan beri kepada pengusaha Menu Rahmah yang ada kad diskaun sehingga 40 peratus. Barang-barangnya berbeza tetapi sehingga 40 peratus dan ini saya nak katakan tanpa satu sen peruntukan daripada kerajaan. Ini satu kejayaan kepada rakyat, pengusaha dan juga kepada kementerian.

Kemudian kita pergi pula kepada Jualan Rahmah. Jualan Rahmah ini ada bajet, ada peruntukan iaitu sebanyak RM100 juta pada mulanya, kemudian ditambah oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) apabila beliau lihat ia berjaya, dengan RM50 juta. Jadi keseluruhan RM150 juta.

Bagaimana kita nak pastikan ia sampai kepada rakyat? Sebab Jualan Rahmah ni dulu modelnya adalah Jualan Keluarga Malaysia. Tapi Jualan Keluarga Malaysia modelnya dalam kedai, ataupun di luar kedai, di dewan dan sebagainya.

Jadi pada tahun ini saya diamanahkan oleh arwah (Salahuddin) untuk melihat kepada model Jualan Rahmah. Di situlah tercetusnya idea ‘kedai cari rakyat’ ataupun Jualan Rahmah Bergerak.

Jualan Rahmah Bergerak ini sekarang ini menjadi satu tarikan kerana ia betul-betul cari rakyat. Ia betul-betul cari rakyat susah di PPR (Projek Perumahan Rakyat), di kawasan B40, di rumah kos rendah, di kampung-kampung, di mana tak ada pasar raya dan sebagainya dan ia membawa barang-barang perlu ke tempat-tempat tersebut.

Sepanjang tahun, sehingga hujung November, awal Disember, 1,873 lokasi Jualan Rahmah Bergerak sudah kita lakukan.

Program Jualan Rahmah membolehkan orang ramai membeli barang keperluan pada harga murah. – Gambar KPDN, 24 Disember, 2023

Apa barang-barang yang ada?

Dalam Jualan Rahmah Bergerak ini ada barang-barang keperluan. Contoh, ia ada lori tiga tan, lima tan, 10 tan pun ada, jadi lori ini private initiative (inisiatif swasta), tiada peruntukan daripada kerajaan ke atas lori ini.

Dalam itu ada beras, ada minyak, ada gula, biskut, bawang, kentang, sardin, mi segera, itu barang-barang keperluan. Ia tidaklah barang-barang yang orang kata bermewah-mewah tapi barang betul-betul keperluan, sayur dan sebagainya. Sekurang-kurangnya dalam 20, 30 item yang dibawa oleh operator-operator Jualan Rahmah Bergerak.

Selalunya Jualan Rahmah Bergerak ini dinanti-nantikan. Mereka (orang ramai) akan menunggu, ada yang queue (beratur) panjang, saya yang ini yang saya masih mencari jalan macam mana nak atasi sebab mereka sanggup berhujan, berpanas sebab diskaunnya sehingga 30 peratus.

Kalau kita tengok contoh, sekarang ini beras tempatan susah nak dapat. Jadi kita buat Jualan Rahmah beras. Jualan Rahmah beras ini ialah beras import dan kita boleh jual 5 kilogram (kg) dengan harga RM14 atau RM15. Paling tinggi RM15 kita jual. Beras tempatan RM13. Jadi kebanyakannya kita jual RM14 atau RM15 dan berbanding dengan di pasar raya harganya RM22, RM23.

Itulah yang kita rasa bila kita (melakukannya), kita belum lagi melaksanakan penyasaran subsidi sepenuhnya tapi dengan cara Jualan Rahmah Bergerak ini ia lebih bersasar, dan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan itu digunakan sebaik-baiknya dengan memberi subsidi dalam bentuk diskaun kepada barang-barang keperluan.

Jualan Rahmah Bergerak ini ibaratnya kalau kita duduk di kampung-kampung ada lori-lori yang jual barang keperluan?

Konsepnya sama macam dulu, ada orang jual ikan, sampai di satu kawasan dia (penjual) berhenti, dia bunyikan hon, dalam van ada sayur, buah, bawang dan sebagainya, itu konsepnya sama tapi ia berhenti di banyak tempat.

Untuk Jualan Rahmah Bergerak ini selalunya ia berhenti di satu tempat dan sudah diuar-uarkan lebih awal, dan selalunya dalam masa dua jam, ia sudah habis (jualan), tak boleh pergi ke tempat lain. Tapi selalunya operator kita akan bergerak setiap hari, ada lokasi-lokasi yang telah diuar-uarkan lebih awal.

Kita juga menggalakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), wakil rakyat, YB-YB terlibat sama. Dan YB-YB ini dia boleh kenal pasti orang yang memerlukan, kadang-kadang dia tolong juga uar-uarkan, dia tolong keluarkan penduduk, bawa penduduk, dan ada juga yang beri sumbangan (berupa) kupon, kepada orang yang mereka kenal amat-amat memerlukan, dah kita bagi diskaun lagi, dapat kupon lagi daripada YB-YB. Ini antara yang amat menggembirakan dan membantu rakyat.

Fuziah Salleh menjelaskan peranan KPDN dalam tembubual bersama Scoop di pejabatnya baru-baru ini. – Alif Omar/Scoop, 24 Disember, 2023

Operator ini daripada kementerian?

Tidak. Kementerian melantik operator, third party (pihak ketiga), operator bebas yang tidak diberi peruntukan apapun dan bukan big player (pemain industri utama).

Selalunya mereka mungkin mempunyai kedai runcit atau ada lesen untuk berniaga atau menjadi pemborong sebelum ini. Mereka menceburi satu aspek baru, konsep baru. Pada mulanya memang saya akui ia sukar kerana mereka tidak memahami, pegawai kita pun tidak memahami konsep ini dan pada mulanya saya lancarkan pada Mei, Jun agak sukar nak mencari orang yang sanggup sebab keuntungannya sedikit.

Kita faham bahawa kita memang betul-betul bagi diskaun, diskaun itu ialah subsidi dan kadang-kadang mereka pun menawarkan sedikit diskaun, kita tambah lagi diskaun.

Logistiknya, masuk ke kampung-kampung dan tak ramai yang mula-mulanya dulu mahu terlibat, tapi alhamdulillah apabila kita berjaya meyakinkan mereka bahawa inilah yang perlu dilakukan untuk rakyat, saya dapati pada hari ini operator-operator ini sebenarnya operator-operator yang betul-betul jiwa rakyat juga.

Mereka sama-sama dengan saya sebab saya selalu cakap dengan mereka bukan sembarangan orang boleh buat Jualan Rahmah Bergerak sebab angkat beras, turun pada lori dan sebagainya memang kerja keras tapi mereka perlu ada jiwa rahmah itu, jiwa rakyat itu, baru mereka boleh jayakan Jualan Rahmah Bergerak ini.

JENAMA RAHMAH

Tahun ini 1,873 (lokasi Jualan Rahmah Bergerak), tahun depan ada penambahan?

Keseluruhan Jualan Rahmah ini, data sehingga 11 Disember, sebab setiap hari kita update (dikemas kini) data, keseluruhan Jualan Rahmah pada 11 Disember ini ialah 4,234 lokasi dan Jualan Rahmah Bergerak ialah 1,873. Jualan Rahmah Bergerak ini telah dapat menyantuni 1.5 juta (orang).

Tapi Jualan Rahmah keseluruhannya dalam enam juta pengunjung dan nilai dalam RM193 juta, nilai keseluruhan jualan. Itu (sehingga) 11 Disember, saya kira awal tahun depan kita akan dapat keseluruhan tahun punya data. Daily (harian) kita update (kemas kini) data ini.

Tapi ia amat memberangsangkan kerana kita lihat operator ini telah berjaya menyantuni 1.5 juta rakyat Malaysia yang amat-amat memerlukan, dan pada saya, ini saya punya vision (visi), next stage (peringkat seterusnya) tahun 2024, saya mempunyai satu hasrat dan saya pun telah bergerak ke arah itu untuk mengeluarkan jenama-jenama Rahmah.

Contohnya apabila lori ini, dia bawa beras, beras ini sudah disubsidi oleh kerajaan, kita sedang berusaha untuk beras Rahmah, gula Rahmah, kicap Rahmah, sos cili Rahmah, jadi lori ini nanti akan bawa jenama Rahmah.

Jadi jenama Rahmah ini memang jenama yang memang kita dah subsidikan, jadi itulah hasrat kami supaya lori-lori itu pula nanti akan diisi oleh barang-barang yang jenama Rahmah ini nanti.

Jenama Rahmah sudah diberi subsidi, itu membolehkan barangan dijual pada harga yang murah. – Gambar KPDN, 24 Disember, 2023

Statistik itu termasuk di Sabah dan Sarawak?

Termasuk, kita ada pecahan-pecahan untuk Sabah, Sarawak dan di beberapa Parlimen dan sebagainya, pecahan untuk Parlimen pun kita ada, pecahan untuk state (negeri) pun kita ada.

KELEMAHAN KPDN

Kita perlu akui kelemahan, mungkin ada kelemahan pada KPDN dalam kita nak melaksanakan, menyampaikan inisiatif kepada rakyat dan perlu diperbaiki kelemahan ini?

Pada saya kita perlu lebih mampu menyampaikan naratif kerana ada lagi rakyat yang tak tahu, yang tak berapa sedar tentang kehadiran dan semua kerja baik KPDN. Saya kira strategic communication (komunikasi strategik) itu perlu lebih diperkukuhkan.

Sebab itu saya memang sentiasa mengambil peluang kalau ada media, tak kiralah siapa-siapa, ambil peluang untuk menyampaikan kepada rakyat as much as possible (sebanyak yang boleh), sebab mekanisme ataupun jentera komunikasi kita itu mungkin tidak dapat lagi dan tidak berapa kukuh lagi untuk sampai kepada setiap pelusuk rakyat.

Jenama Rahmah ini mungkin orang sudah tahu apa dia dan mungkin tahun 2024 ada YB nak perkenal jenama-jenama atau inisiatif yang hebat lagi untuk rakyat?

Pada saya jenama Rahmah ini kekal sebab ia pun sudah kita daftarkan sebagai satu trademark (tanda dagangan), yang hak milik oleh KPDN. Jadi ia insya-Allah akan kekal sepanjang pentadbiran kerajaan, cuma dari segi memperkukuhkannya lagi saya rasa itulah yang harus dilakukan sebab itu saya kata tadi produk, saya nak fokus kepada produk.

Produk yang perlu yang memang sebelum ini kita jual, tapi dalam pelbagai jenama. Tapi sekarang ini macam beras pun nak bagi jenama Rahmah supaya ia sinonim dengan Jualan Rahmah.

KRITIKAN PEMBANGKANG, NETIZEN

Tapi Jualan Rahmah ini kalau kita lihat di Parlimen, pembangkang kritik dan kalau kita tengok di media sosial, netizen pun mengkritik. Apa komen YB?

Netizen punya kritik macam ini, dia kata kenapa buat Jualan Rahmah? Kenapa tak kawal harga (barang)? Sebenarnya kerap kali saya terangkan bahawa kita dalam pasaran ekonomi terbuka, yang menentunya ialah demand and supply (permintaan dan penawaran). Jadi kita dalam pasaran ekonomi terbuka kita tak boleh kawal semua harga setiap masa.

Sebagai contoh, apabila kita kawal harga telur dan kalau kita ingat satu ketika pada 2022, ketiadaan telur berada di pasaran. Apabila kita kawal harga dan kita paksa peniaga menjual dengan harga tertentu dan apabila dapati tak dapat keuntungan, maka mereka tak keluarkan telur, tak bela ayam yang nak keluarkan telur. Akhirnya bekalan tak ada.

Jadi yang mana yang lebih penting? Pastikan bekalan ada dan pada masa sama pastikan kita kawal harga. Tapi kita tak boleh hadkan semua barang dalam pasaran ekonomi terbuka.

Jadi apa yang kita buat, kita hadkan harga segelintir barang. Contohnya sewaktu musim perayaan kita buat skim harga maksimum dengan barang-barang yang perlu. Contohnya sewaktu Deepavali kita hadkan harga kacang dal, rempah, sebab kita tahu sewaktu musim Deepavali ada demand (permintaan) yang tinggi, kelapa, demand yang tinggi maka harga akan naik based on demand and supply. Sewaktu musim raya (Aidilfitri), kita hadkan harga daging, contohnya, sebab orang nak buat rendang.

Dalam pasaran ekonomi terbuka tidak semua harga barang boleh dikawal setiap masa dan ia bergantung kepada permintaan dan penawaran. – Riduan Ahmad/Scoop, 24 Disember, 2023

Jadi hanya sewaktu musim perayaan supaya kita boleh kawal tak ada berlaku macam orang kata pencatutan. Selain itu kita kawal juga minyak, sekarang ini kita kawal harga minyak, minyak botol kita kawal, kita kawal harga gula, gas memasak, tapi kita tak bolehlah nak kawal segala-galanya.

Akhirnya kita tak jadi satu pasaran ekonomi yang kompetitif, di mana berlaku persaingan yang sihat dan sebagainya. Kita tengok contoh apabila kita apungkan harga ayam, harga ayam tak naik, harga ayam turun, apabila berlaku persaingan yang sihat, jadi itulah free market economy (pasaran ekonomi terbuka) dan model ekonomi yang kita nak.

Cuma kita tahu dalam menangani kos sara hidup ini, kita ada banyak faktor yang di luar kawalan kita, contohnya, climate change (perubahan iklim), import eksport, perang, jadi apabila berlaku perang, kos untuk import barang mahal, contohnya gula. Kita nak proses gula di Malaysia ni, kita import 100 peratus gula mentah. Malaysia tak ada tanam tebu untuk buat gula mentah. Jadi ia tentu sekali akan terikat dengan pasaran dunia dan sebagainya.

Kemudian apabila India kekurangan beras, jadi dia ban (melarang) dia punya eksport, jadi bila dia ban eksport, kita punya harga beras import naik. Tapi, macam mana kita nak tolong orang yang perlu sebab kita punya pendapatan mungkin tak naik dan ada orang yang tak mampu?

Sebab itu kita buat Jualan Rahmah Bergerak untuk target (sasar) Jualan Rahmah. Sebab kalau kita nak kawal semua dan kita akan gagal untuk import, kita akan gagal untuk bawa barang ke dalam pasar raya pun, kalau kita kata semua barang yang kita nak kawal dia punya harga.

Kalau kita kata kita nak kawal harga bawang, tak ada siapa nak import bawang sebab harga bawang mahal sekarang, kalau kita kata beras import pun kita nak kawal, tak ada orang nak import beras.

Sebab import itu pun, harga landing (pendaratan) pun dah mahal, sebab negara-negara, India dah tak nak jual, semua berebut dekat Thailand, berebut dekat Vietnam dan sebagainya. Negara pengeluar beras ini banyak demand (permintaan), dia pun naikkan harga.

Jadi mereka pembangkang ini boleh bercakap, tapi saya kira, sewaktu mereka menjadi kerajaan pun mereka gagal, jihad (ekonomi) pun gagal tangani keadaan pasaran ketika itu. Malah krisis telur tak ada, itu pun masa pembangkang jadi kerajaan. Apabila kami warisi ketika itu pun ada masalah dengan ayam. Harga ayam tak boleh dikawal. Kartel yang mengawal.

Bila macam ini, bila polisi mereka, mereka sekat eksport ayam dan mereka ingat dengan menyekat eksport ayam mereka boleh mengawal volume (jumlah) ayam dalam pasaran dan ayam itu cukup untuk rakyat Malaysia. Padahal orang tak nak bela ayam sebab harganya dikawal.

Jadi apa yang kami buat, kami benarkan import, kami benarkan eksport tapi pada masa yang sama kita apungkan, jadi apabila kita apung, kalaulah kartel ambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan, kita boleh minta industri import ayam, sebab ayam di Thailand sekarang murah.

Importlah, jual murah, kartel dah tak boleh buat apa. Lepas itu kita bagi dia eksport, ke Singapura, jadi dia untung dekat situ, tak payahlah untung banyak di Malaysia. Inilah dia yang dalam pasaran ekonomi terbuka kita kena benarkan perkara ini berlaku. Jadi kadang-kadang itu (kritikan pembangkang) satu pemikiran yang cetek, simplistic (terlalu ambil mudah), yang tidak memahami pasaran ekonomi.

PERSEPSI RAKYAT KPDN TAK MAMPU KAWAL HARGA BARANG

Apabila mereka (pembangkang) memomok-momokkan harga barang naik, ini menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat bahawa KPDN tak mampu nak kawal. Bagaimana KPDN nak melawan persepsi ini?

Sebab itu saya katakan antara perkara yang kita perlu ialah strategic communication, naratif yang lebih kuat, sebab saya nampak itu kelemahan. Itu agak lemah di situ dan perlu diperbaiki dan lagi satu antara faktor yang menyumbang kepada kurangnya kefahaman itu ialah kita punya consumerisme (kepenggunaan), kita punya pengguna, pengguna kita yang mempunyai kefahaman yang rendah berkenaan dengan hak-hak pengguna.

Jadi apabila kefahaman mereka rendah berkenaan dengan hak-hak pengguna ini, mereka tidak lihat bahawa pengguna ini mempunyai kuasa, kuasa untuk buat keputusan. Contohnya apabila saya kata kuasa untuk buat keputusan itu ada pengguna yang tanya saya, kalau saya nak makan ayam, kenapa saya perlu bayar mahal, sedangkan kerajaan patut turunkan harga.

Itu contoh, persepsi yang begitu. Kerajaanlah yang patut turunkan harga. Jadi maksudnya pengguna punya kefahaman semua peranan kerajaan. Sedangkan pengguna tidak sedar bahawa mereka itulah game changer (pengubah keadaan), mereka juga ada kuasa untuk menentukan.

Contohnya, kita sekarang bercakap pasal boikot, itu hak pengguna sebenarnya. Apa yang berlaku kepada Disney pada hari ini, rugi. Apa yang berlaku pada jenama besar, kedai kopi contohnya, rugi, tutup. Itu kuasa pengguna.

Jadi katakanlah pengguna menggunakan kuasa mereka kepada satu barangan yang mahal dan mengatakan saya nak tukarlah protein, saya nak bagi anak saya protein lain, buat sementara waktu ini, dalam konsep boikot itu, maka harga akan turun.

Ini yang pengguna belum sedar berkenaan dengan kuasa mereka, hak mereka, kuasa mereka, peranan mereka, sebaliknya mereka memikirkan semua kerajaan kena kawal, kerajaan kena control. Dan tanpa mereka sedar, kalau kerajaan control pun ia akan crash (runtuh), ia tidak akan berkembang.

Fuziah Salleh berkata, strategi komunikasi dan naratif lebih kuat diperlukan untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai situasi sebenar kenaikan harga barang kerana isu tersebut sering dijadikan modal politik pembangkang. – Alif Omar/Scoop, 24 Disember, 2023

Apakah pengguna masih rendah pemahaman terhadap hak-hak kepenggunaan?

Saya kira ini adalah satu perkara lama yang sudah terbiasa selama ini dan ini satu perkara yang KPDN, saya sendiri akan lihat bagaimana nak membudayakan pengguna, bagaimana kita nak mencari modul latihan pengguna supaya pengguna ini lebih sedar, lebih aware (menyedari) berkenaan dengan peranan mereka.

Kita juga akan buat benchmarking againt the best practice (penanda aras terhadap amalan terbaik), macam mana pengguna dekat luar negara, negara-negara lain tahu hak mereka, macam mana mereka boleh kuat dan sebagainya, tengok apa yang dia lakukan di negara-negara lain sehingga berlakunya apa orang kata the empowerment (pemerkasaan) itu yang sebenarnya, bukan setakat kita memberi penerangan, tapi sekarang ini kita buat, tapi mereka tak translate (terjemah) kepada tingkah laku mereka. Pengguna ini kita lihat dia tak translate ke tingkah laku yang kita nak ialah translate ke tingkah laku

. Saya kira KPDN punya peranan yang besar di dalam memberi pendidikan tersebut, latihan, kesedaran sehingga timbulnya kesedaran yang diterjemahkan kepada tingkah laku.

KPDN, SAMA ADA HIDUP ATAU MATI

Insan di sebalik inisiatif Rahmah iaitu Allahyarham (Salahuddin), macam mana YB melihat pemikirannya terutama kebimbangan arwah terhadap kos sara hidup rakyat?

Masa arwah mula-mula dengan saya, dia kata pada saya, dia kata Fuziah, kos sara hidup ini yang telah dimasukkan di dalam terma rujukan kementerian ini, this one (terma itu) dia kata boleh bunuh kita, buat kita mati, ataupun buat kita berjaya.

Apa maksudnya ‘bunuh’ kita itu?

Maksudnya kos sara hidup ini, susah, jadi kalau kementerian ini gagal, ia akan menjatuhkan kita, prestasi kami di kementerian. Sebab itu di awal kami bertekad bahawa kos sara hidup ini adalah satu, apa orang kata, kalau jaga, sebelum ini ia KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), beban itu lain (kini) jadi kos sara hidup dan kita tahu kos sara hidup ini bukan sesuatu yang semuanya dalam kawalan kita, dia ada banyak yang luar kawalan kita.

Bila banjir lori dari Cameron Highlands tak sampai ke kawasan, tersekat, harga sayur naik, orang marah kita, itu di luar kawasan kita, kemudian India naikkan cukai eksport bawang, jadi bila orang beli bawang mahal, makanan jadi mahal, kementerian juga salah. Ini maksud kos sara hidup.

Dan kemudian kami pula hanya menjaga di hujung rantaian. Contoh ayam, di awal rantaian itu ialah kementerian lain, yang bagi subsidi ayam, kementerian lain, yang buat dasar berkenaan bekalan, itu kementerian lain, yang kena jaga ini kami.

Jadi bila tak ada bekalan, kami kena marah, gula tak ada, minyak tak ada dan sebagainya kami kena marah sedangkan ada banyak faktor lain. Jadi itu maksudnya, kos sara hidup ini memang banyak faktor luaran, climate change, saya kata external (faktor luaran), environment (isu alam sekitar), perang, tukaran ringgit, kemudian polisi negara lain dan sebagainya.

Tapi ia cabaran ke atas kami, itulah maksud Allahyarham, dia kata is do or die (antara hidup dan mati) for us (KPDN).

Sebab itu kami memang sungguh-sungguh bila kita jenamakan, dia selalu ingat kita pernah jadi wakil rakyat, dia kata, jadi kita tahu macam mana bila rakyat susah, ya betul kita tahu macam mana rasanya bila rakyat susah, kita tahu macam mana rasanya bila rakyat lapar, kita tahu bagaimana rasanya bila rakyat tak dapat nak menanggung kos sara hidup. Antara perkara yang pertama kita perkenalkan Bakul Rahmah. Sebab kita tahu betapa rakyat bersyukur apabila menerimanya.

Tapi cabaran kami juga kita tak ada peruntukan, tapi alhamdulillah dengan pengalaman kami, saya sendiri daripada NGO (pertubuhan bukan kerajaan), latar belakang yang kita boleh menggerakkan tanpa bajet itu juga, macam mana kita nak dapatkan, objektif kita itu tanpa bajet macam Menu Rahmah, jadi kemudian Menu Rahmah yang kita perkenalkan dan apabila kita lulus bajet pada bulan empat (April) 2023, berkenaan dengan Jualan Rahmah ini dan beliau menyerahkan segalanya kepada saya untuk lead (mengetuai) Jualan Rahmah ini.

Di situ kita mula pula dengan Jualan Rahmah Bergerak dan sebagainya untuk menangani kos sara hidup. Saya rasa asasnya ialah kita faham rakyat macam mana. Kami bukan daripada golongan kayangan, kami bukan apa orang kata dari latar belakang orang have-have (kayangan) yang tak tahu susah rakyat ini macam mana.

Kami memang grassroot (akar umbi), orang yang memang bekerja di akar umbi yang tahu macam mana rakyat ini, jadi itu banyak membantu sebab empati itu ada, mudah untuk kita memahami dan merasakan denyut nadi (rakyat) itu, itu banyak membantu.

Fuziah Salleh sering turun padang sendiri untuk memantau harga barang di pasar raya. – Gambar Facebook Fuziah Salleh, 24 Disember, 2023

Apa pemikiran di sebalik menukar nama KPDNHEP kepada kos sara hidup ini?

Saya kira itu adalah pemikiran Perdana Menteri (Anwar) di awal, sebabnya perkara-perkara yang banyak mengekang, cabaran kepada rakyat ini sewaktu kita pembangkang, kita dah nampak, antara perkara besar adalah keterjaminan makanan.

Itu antara perkara besar yang daripada dulu lagi sebagai pembangkang kami kerap menyuarakan. Dasar-dasar keterjaminan makanan yang itu pada saya itu antara polisi yang penting untuk meletakkan keterjaminan makanan sebagai satu dasar, sebagai satu fungsi kementerian. Sebab sebelum ini apabila kita jadi pembangkang kita sentiasa berkata berkenaan keterjaminan ini, what happen (apa yang akan berlaku) kalau negara yang eksport beras kepada kita tak nak eksport, contoh, what happen dan benar-benar berlaku ya.

Itulah antara hikmah Perdana Menteri meletakkan itu dan kos sara hidup memanglah juga sebab apabila kita tengok, kos sara hidup ini kena ada kenaikan dispossible income (pendapatan boleh guna).

Apabila kita punya pendapatan itu naik barulah kita boleh manage (urus) betul-betul, jadi sebab itu sekarang kita dalam gaji progresif dan sebagainya, menaikkan pendapatan tapi sementara itu kami di sini kena memastikan rakyat boleh manage kos sara hidup.

Itulah dia Rahmah itu. Jadi is a whole government approach and a whole nation approach (keseluruhan pendekatan kementerian dan negara), dia bukan KPDN semata-mata. Dan kita kena lihat peranan KPDN dalam konteks keseluruhan kerajaan.

KERJASAMA KERAJAAN PERPADUAN

YB, kita masuk isu politik, setahun kerjasama Kerajaan Perpaduan ini, dulu PKR, DAP, Amanah begitu bermusuh dengan BN (Barisan Nasional), jadi sudah setahun bersama macam mana YB melihat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan ini?

Pada saya, kita harus mempunyai meletakkan rakyat nombor satu. Kalau kita letakkan rakyat nombor satu, kita letakkan negara nombor satu dan kita memikirkan kepentingan bagaimana kita nak menyelamatkan negara ini, dengan hutangnya yang banyak, dengan keadaan kita tidak ada keterjaminan makanan, di mana kita banyak perlu import, bawang pun kita tak tanam, jadi beras pun kita tak cukup, gula mentah pun 100 peratus kita import, kita banyak dependent (bergantung) kepada (import), makanan haiwan pun kita belum dapat jamin.

Banyak dasar yang perlu kita perbaiki, banyak lagi, itu baru cakap keterjaminan makanan. Belum cakap pasal gaji, belum cakap pasal dasar seperti perubahan iklim, berkenaan dengan bagaimana kita menjaga alam sekitar, ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus), SDG (Matlamat Pembangunan Lestari), itu adalah semua apa orang kata perkara yang akan menarik pelabur untuk datang ke Malaysia dan akhirnya apabila mereka mahu datang ke Malaysia dan melabur di sini barulah kita boleh meningkatkan pendapatan negara.

Maka Kerajaan Perpaduan itu amat penting, kerajaan yang stabil itu amat penting, politik yang stabil is number one (keutamaan) untuk memastikan bahawa pelabur akan datang, kita boleh selesaikan masalah hutang, kita boleh selesaikan masalah, macam-macam masalah saya sebut tadi itu maka, give and take (berkompromi), kita perlu berlapang dada, kita perlu cari jalan, titik pertemuan, bukan titik perpisahan.

Jadi itulah semangatnya, rohnya, yang penting Kerajaan Perpaduan ini mampu menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh negara, seperti yang saya kata hutang tadi, mesti stabil, kita mesti stabil, kerajaan kita mesti stabil, politik dan barulah pelabur akan datang.

Dan kita telah lihat, dah lihat kesan itu pada hari ini, itu beri semangat dan motivasi untuk kerja kuat lagi, insya-Allah semoga negara kita kembali ke era seperti dahulu yang gemilang, bebas daripada beban hutang, rakyat pun makmur, pendapatannya baik. Itulah hasrat kita, insya-Allah.

Fuziah Salleh percaya, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh negara. – Gambar Facebook Fuziah Salleh, 24 Disember, 2023

Kerajaan Perpaduan sering jadi sasaran pembangkang, khususnya kerjasama antara BN dan DAP. Sepanjang YB bersama DAP ini, apakah begitu teruknya DAP ini seperti diuar-uarkan oleh pembangkang?

Saya berada dalam parti daripada awal. Pada saya ia bukan atas nama. Apa yang saya lihat kepada satu-satu parti itu ialah prinsip yang mereka pegang dan integriti kepada prinsip tersebut. Pada saya, saya lihat DAP uphold (menegakkan) their principal (prinsip).

Dia pegang kepada prinsip dan dia melaksanakan apa yang dia katakan. Jadi tak kisahlah atas nama apa sekalipun, pada saya itu penting sebab kita menilai kepada penterjemahan kata-kata itu.

Pelaksanaan apa yang ia katakan, jadi tak kiralah kalau satu parti itu, atas namanya, katalah prinsipnya Islam pun, tapi apabila tingkah lakunya tidak reflect (mencerminkan), pada saya, ya saya tak nak menyebut mana-mana, tapi it is a translation, ia penterjemahan kepada apa yang di dalam hati kita. Itulah pengalaman saya, jadi kita cari titik pertemuan itu.

Tetapi pembangkang sekarang tak sama macam pembangkang zaman YB dulu?

Ini ya pada saya walaupun kita pembangkang, peranan kita ialah membangunkan negara. Sebab itu kita memberi input yang konstruktif. Kita menegur, menyoal secara konstruktif untuk kebaikan negara. Saya kira pembangkang hari ini hanya menyoal untuk kepentingan politik mereka, bukan untuk pembaikan negara.

Dan di Parlimen tak habis-habis masih nak mempersoal apa itu makna Kerajaan Perpaduan, yang sering dipersoalkan itu sahaja?

Okey kalau kita tengok dalam proses demokrasi dunia, coalition (pakatan), atau kita buat perpaduan ini, coalition government ini amalan yang biasa dalam negara-negara demokrasi. Model yang terbaik kita tengok Jerman. Jerman kalau kta tengok dia punya coalition, di federal (Persekutuan) lain, di states (negeri) lain, di local council (pihak berkuasa tempatan) lain. Sebab yang penting ialah mereka mencapai apa yang mereka commit (komited).

Saya rasa dalam sejarah, dekat Jerman, dia ada satu grand coalition (gabungan besar). Grand coalition ini, apabila Christian Democrat (The Christian Democratic Union of Germany) dengan The Social Democratic Party, Christian Democrat parti paling kanan dan The Social Democratic parti kiri, di mana mereka boleh bergabung dan membentuk kerajaan demi negara. Dan apa yang berlaku mereka mengambil masa begitu lama, saya rasa lima minggu, untuk siapkan mereka punya promise (janji) sepanjang penggal itu dan mereka dokumenkan dalam bentuk dokumen bertulis, dasar-dasar mereka.

Mereka bersetuju untuk melaksanakan dasar tersebut. Itu contoh Kerajaan Perpaduan. Maksudnya di negara-negara lain, model-model parti yang tidak bersetuju, bergabung dan mencari titik pertemuan itu, memang model demokrasi.

Jadi di Malaysia ini pertama kali berlaku sebab di Malaysia ini coalition itu sebelum pilihan raya. Coalition sebelum pilihan raya dan coalition itulah yang menjadi kerajaan. Macam tahun 2018, PH (Pakatan Harapan), coalition, BN sebagai coalition kalah, tapi ini adalah BN, PH, GPS (Gabungan Parti Sarawak), GRS (Gabungan Rakyat Sabah) ini semua coalition masing-masing. Macam PN (Perikatan Nasional) is a coalition. Tapi BN is a coalition, dia ada banyak parti, PH ada banyak parti, GRS ada banyak parti, GPS ada banyak parti.

Jadi ini adalah pembentukan perpaduan, a coalition government. Ini bukan model baru, ia model memang dah berlaku di negara-negara lain. Jadi sebelum ini tak ada masalah yang pentingnya dasar itu dipersetujui bersama. Kalau tak boleh bersetuju then you cannot be part of the government (tidak boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan). Jadi terserah mereka (PN) diajak juga untuk bersama dan mereka memilih untuk tidak bersama.

Pada saya eloklah mereka pada ketika ini, hari ini, memikirkan macam mana nak membina negara. Memikirkan, memberikan idea-idea yang konstruktif, tanya soalan yang konstruktif (di Parlimen), bukan tanya soalan bodoh-bodohlah dekat Dewan Rakyat.

Saya kira habiskan masa kadang-kadang, habiskan masa dan habiskan duit rakyat bayar elaun mereka sebagai wakil rakyat, tanya soalan bodoh-bodoh. Jadi itulah, be a statesmen (pemimpin politik yang dihormati), bina negara sama-sama, itu harapan kami, insya-Allah harapan saya sendiri. – 24 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related