Keputusan PM lantik timbalan menteri agama langkah tepat perkasa Islam

Kewujudan jawatan itu mampu membantu menteri untuk terus menggalakkan agama terbabit yang merangkumi banyak perkara dan memiliki skop luas

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dianggap tepat untuk terus menggalakkan pembangunan dan kemajuan Islam di negara ini.

Malah, langkah itu membolehkan menteri dan timbalan menterinya berganding bahu untuk terus memacu hal ehwal agama yang luas dan antara bidang utama di Malaysia.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pelantikan jawatan itu penting kerana kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan dan mesti terus diperkasakan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor. – Gambar Bernama, 23 Disember, 2023

“Kecanggihan dunia moden dengan pelbagai rekaan baharu dalam pelbagai bidang kehidupan, menuntut pembaharuan dan pengislahan sentiasa dilakukan dalam usaha meremajakan pengurusan hal ehwal Islam supaya sejajar dengan situasi dunia semasa,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada pelbagai aspek berkaitan Islam, keperluan kepada usaha penambahbaikan tetap dirasakan amat perlu dalam hal bersangkutan dengan agama berkenaan.

“Ini termasuk pemerkasaan undang-undang syarak dan penyeragamannya di semua negeri, perancangan dan penyelerasan pentadbiran Islam antara negeri, meningkatkan lagi efisiensi pengurusan kutipan dan agihan zakat serta pengurusan wakaf.

“Selain itu, peningkatan usaha dakwah dan pendidikan Islam, pengimarahan institusi masjid dan surau serta pengendalian ibadat haji dan lain-lain,” katanya.

Justeru, Wan Salim berkata, bagi menerajui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang begitu luas skop cangkupannya, ia sudah tentu memerlukan peranan timbalan menteri untuk menjalankan tanggungjawab membantu menteri menangani aspek tertentu berkaitan Islam mengikut penyelarasan fungsi yang ditentukan bersama.

“Dengan pelantikan timbalan menteri (hal ehwal agama) ini, diharap segala urusan berkaitan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini berjalan lebih lancar dan lebih berkesan, manakala segala kelemahan yang ada dapat diatasi.

“Contohnya kes tertangguh di Mahkamah Syariah yang sering menjadi rungutan orang ramai dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, kurikulum sekolah agama rakyat serta kebajikan guru dan murid, pengurusan zakat dan wakaf serta perkara berkaitan dapat diselaraskan.

“Diharap semua aspek tersebut dan lain-lain lagi akan mendapat perhatian jabatan berkenaan,” katanya.

Wan Salim berkata, sesungguhnya usaha memartabatkan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai suatu agensi Islam berwibawa serta disegani amatlah didamba masyarakat Islam Malaysia.

“Matlamat ini boleh dicapai dengan perancangan teliti, diikuti dengan pelaksanaan bersungguh-sungguh dan penuh amanah oleh pihak (menteri dan timbalan menteri) yang diberi tanggungjawab tersebut,” katanya.

Kewujudan portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama) menyaksikan Dr Zulkifli Hasan (kanan) dilantik ke jawatan itu untuk membantu Menterinya, Datuk Mohd Na’im Mokhtar. – Gambar tangkap layar Facebook, 23 Disember, 2023

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang memberi pandangan senada dengan menyatakan keputusan Perdana Menteri itu dapat membantu pengurusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengendalikan keperluan bidang agama di Malaysia.

“Ya suatu langkah yang tepat untuk membantu menteri menjalankan fungsi dan tugasnya menjaga hal ehwal agama di negara ini, mencakupi lebih 14 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama kendaliannya.

“Agensi itu antaranya seperti JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Tabung Haji.

“Banyak perkara perlu diberi perhatian dalam memperkasakan hal ehwal Islam di negara ini.

“Ia terutamanya isu perundangan syariah, industri halal, kebajikan fakir miskin dan asnaf, selain badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang banyak membantu kerajaan melaksanakan fungsi serta tanggungjawabnya,” katanya kepada Scoop.

Mengulas mengenai komitmen dan usaha pemerkasaan lebih jitu perlu dimainkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) beliau berkata, ia perlu menghuraikan konsep dan ajaran Islam seperti terdapat dalam Al-Quran dan hadis sahih dengan baik.

Katanya, konsep dan ajaran Islam harus diperkasakan, dipopularkan dan dilaksanakan semua institusi serta agensi pentadbiran dan penguatkuasaan agama Islam di peringkat pusat serta negeri.

Pihak jabatan berkenaan, ujarnya, perlu mengamalkan pendekatan Islam sederhana, tidak ekstrem, tidak konservatif dan jumud serta tidak terlalu longgar atau lari daripada disiplin ilmu Islam sebenar.

“Penyatuan dan keharmonian masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini atas dasar Islam adalah agama Persekutuan, manakala agama lain boleh diamalkan dengan bebas tanpa menyentuh sensitiviti antara satu sama lain.

“Manifestasi Islam agama yang rahmah bagi semua orang termasuk terhadap bukan Islam,” katanya.

Jelasnya, kelahiran ustaz dan ustazah segera media sosial yang bukan dari pengajian sepatutnya perlu dibendung dan dikawal.

Penonjolan ilmuan yang benar-benar pakar dalam bidang mereka secara lebih inklusif melalui media massa, katanya, perlu dilakukan dengan pesat agar budaya ilmu sebenar dapat dipupuk dalam masyarakat, bukan oleh penceramah segera tanpa kelayakan dan kepakaran.

“Membasmi dan membanteras doktrin melampau atau yang mencetuskan fitnah dan mencela satu sama lain, taasub terhadap pemimpin dan kelompok sendiri, budaya label-melabel, propaganda tidak sihat dan sebagainya, sama ada yang terdapat dalam kelompok masyarakat atau dalam mana-mana institusi dan agensi di bawah pentadbiran agama Islam di peringkat pusat atau negeri.

“Menyegerakan usaha mempertingkatkan Kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah, termasuk undang-undang berkaitan yang digunapakai di mahkamah syariah, tatacara dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinetnya menerusi sidang media pada 12 Disember lalu, sebagai usaha bagi terus memperkukuh pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Beberapa portfolio baru serta pertukaran menteri dan timbalan menteri diumumkan Anwar.

Antaranya, kewujudan portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama) menyaksikan Timbalan Rektor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Zulkifli Hasan dilantik ke jawatan itu untuk membantu Menterinya, Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Sebelum ini, sejak penubuhan Kabinet penuh Kerajaan Perpaduan pada Disember tahun lalu, Na’im menjalankan tanggungjawabnya tanpa timbalan. – 22 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related