Asian Kitchen tahu tempoh perjanjian sewa premis sudah tamat: Menara KL

Syarikat yang memiliki Atmosphere 360 dan Cafe 360 yang terletak di Menara KL itu menyedari tempoh tamat perjanjian penyewaan mereka yang pada mulanya bertarikh pada 31 Disember tahun lepas

7:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) menjelaskan bahawa notis pengusiran ‘mengejut’ ke atas Asian Kitchen (M) Sdn Bhd telah ditetapkan sejak sekian lama.

MKLSB dalam kenyataan hari ini berkata, syarikat yang memiliki Atmosphere 360 dan Cafe 360 yang terletak di Menara KL itu menyedari tempoh tamat perjanjian penyewaan mereka yang pada mulanya bertarikh pada 31 Disember tahun lepas.

Susulan itu, MKLSB berkata, perbincangan sudah berlangsung dan lanjutan tempoh penyewaan diberikan sehingga 30 Jun tahun ini.

Bagaimanapun, restoran tersebut beroperasi secara haram di menara itu selepas perjanjian penyewaan mereka tamat, selain ingkar perintah mahkamah dan tidak membayar sewa kepada MKLSB dari Julai 2023 sehingga hari ini.

Mereka berkata, pemilik restoran itu mengetahui sepenuhnya tempoh tarikh tamat yang baharu pada 30 Jun dan harus mengosongkan premis itu pada masa itu, di mana tiada lagi lanjutan pembaharuan penyewaan diberikan.

“(Bagaimanapun), pada 9 Jun tahun ini, Asian Kitchen memulakan saman di Mahkamah Tinggi, di sini, terhadap kami di mana mereka memohon injunksi untuk menghalang kami daripada menguatkuasakan hak kami sebagai tuan rumah bagi mengarahkan pengosongan premis selepas perjanjian penyewaan tamat tempoh.

“Mahkamah Tinggi kemudiannya menolak permohonan injunksi mereka pada 27 Jun tahun ini. Kami kemudian memaklumkan dan meminta pemilik restoran mengosongkan premis itu melalui notis, surat dan memo tetapi tidak berjaya.

“Kami kemudiannya memohon penghakiman ringkas daripada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah pengosongan premis itu, yang diberikan pada 4 September,” kata MKLSB.

Ringkasan penghakiman itu melibatkan perjanjian penyewaan antara MKLSB dan Asian Kitchen tamat pada 30 Jun dan mereka beroperasi secara tidak sah di premis itu sejak 1 Julai tahun ini.

Penghakiman itu turut memerintahkan pemilik restoran menyerahkan pemilikan kosong premis terbabit kepada MKLSB dan membayar sewa dua kali ganda kepada pemilik Menara KL bermula 1 Julai sehingga tarikh mereka mengosongkan premis berkenaan.

“Pemilik restoran kemudian memfailkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 23 November.

“Sementara itu, MKLSB terus memaklumkan dan meminta mereka (Asian Kitchen) mematuhi perintah Mahkamah Tinggi dan menyerahkan pemilikan kosong premis itu, berserta pembayaran wang yang diadili oleh Mahkamah Tinggi.

“Tetapi sekali lagi… ia tidak berjaya.

“Disebabkan ingkar berterusan dan tidak mematuhi perintah mahkamah, kami tidak mempunyai pilihan selain memohon kepada mahkamah untuk melaksanakan perintah itu,” katanya.

MKLSB juga memaklumkan pada 23 November lalu, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada MKLSB untuk mengeluarkan writ pemilikan untuk mendapatkan semula premis itu daripada pemilik Atmosphere 360.

Syarikat itu berkata, mereka juga sudah memfailkan kedua-dua writ pemilikan dan writ penyitaan dan penjualan di Mahkamah Tinggi untuk melaksanakan perintahnya.

“(Oleh itu) semalam, bailif Mahkamah Tinggi datang ke Menara KL untuk melaksanakan kedua-dua writ terhadap Asian Kitchen dalam melaksanakan perintah mahkamah yang telah diingkari, diabaikan dan gagal dipatuhi.

“Syarikat itu beroperasi secara haram dan ingkar perintah mahkamah, dan mereka tidak membayar sewa kepada kami (MKLSB) dari Julai 2023 hingga kini.

“Asian Kitchen masih bertanggungjawab untuk mematuhi perintah Mahkamah Tinggi, walaupun beberapa rayuan dan permohonan mereka difailkan di mahkamah berhubung penolakan permohonan injunksi, serta penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan yang juga ditolak,” katanya.

Bagaimanapun, MKLSB berkata mereka tidak pernah mengganggu operasi dan pengurusan restoran terbabit.

Mereka juga menegaskan bahawa semua langkah yang diambil dalam menyelesaikan urusan penyerahan premis berhubung isu penyewaan adalah mengikut undang-undang dan prosedur.

“Premis itu kini berada di bawah kawalan dan pengawasan mahkamah. Akibatnya, Atmosphere 360 dan Café 360 tidak beroperasi pada masa ini.

“Restoran berputar itu akan ditutup buat sementara waktu untuk naik taraf menyeluruh. Bagaimanapun, seluruh Menara KL beroperasi seperti biasa,” katanya.

Awal hari ini media melaporkan bahawa Asian Kitchen diberikan notis pengusiran ‘mengejut’ dan mereka diberi masa sehingga 4 Januari depan untuk mengosongkan premis mereka yang terletak di Menara KL.

Ketua Pegawai Eksekutif restoran itu, Datuk Ringo Kaw Fan Chu memberitahu Scoop bahawa kerugian yang ditanggung oleh restoran itu adalah sekitar RM1 juta. – 22 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related