Akta 559 masih peruntukan perbuatan ganggu rumah tangga kesalahan selaras hukum syarak

Justeru, semua pihak digesa menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai tidak berperlembagaan

2:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun Seksyen 498 Kanun Keseksaan dimansuhkan, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] memperuntukkan perbuatan mengganggu keharmonian rumahtangga sebagai suatu kesalahan selaras dengan hukum syarak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 36 mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami dan seksyen 37 mengenai kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Malah katanya, seksyen 38 mengenai kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan turut boleh digunapakai.

“Peruntukan-peruntukan ini secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumahtangga selaras dengan kehendak syarak.

“Jika dilihat daripada aspek hukum syarak, Islam sangat mementingkan keharmonian rumahtangga dan ikatan perkahwinan pasangan suami isteri.

“Islam melarang perbuatan mengganggu isteri orang atau sebarang usaha untuk meruntuhkan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menggesa semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai tidak berperlembagaan.

Katanya, penghakiman tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Hakim berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian terbaik.

“Oleh itu, pemansuhan ini tidak menjejaskan peranan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususnya agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta lain-lain agensi untuk terus melaksanakan program pengukuhan institusi keluarga,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Na’im turut menggesa seluruh umat Islam terutamanya pasangan suami isteri supaya berganding bahu melaksanakan kewajipan masing-masing serta saling memperkukuh institusi keluarga.

“Masing-masing mempunyai kewajipan tersendiri untuk membangunkan keluarga demi anak-anak dan generasi Al-Falah.

“Selain itu, semua pihak dipohon supaya saling meningkatkan akhlak dalam pergaulan seharian agar sentiasa sejajar dengan pedoman ajaran agama Islam,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang berkaitan menjenayahkan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang, kerana ia tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata, panel hakim berpendapat bahawa seksyen itu adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen 498 hanya memberi hak kepada suami untuk bergantung kepada peruntukan itu dengan mengenepikan semua hak isteri. Oleh itu ini adalah diskriminasi atas alasan jantina sahaja.

“Hakikat bahawa inilah isu sebenarnya, diterangkan dengan jelas oleh Seksyen 132 Kanun Acara Jenayah, yang menyatakan bahawa ‘Tiada mahkamah boleh melihat ada kesalahan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan, kecuali atas aduan yang dibuat oleh suami kepada perempuan itu,” katanya. – 22 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related