ZIM perlu urus keluar 4,000 kontena kargo transit terkandas di Pelabuhan Klang

Malah, ZIM harus menghubungi syarikat perkapalan lain bagi proses mengurus keluar kontena terlibat

7:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Susulan larangan berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, perlu mengurus keluar 4,000 kontena kargo transit (transhipment) kendalian mereka yang terkandas di Pelabuhan Klang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat tersebut bertanggungjawab ke atas semua kontena transit yang perlu dibawa keluar dari pelabuhan berkenaan.

Menurutnya, ZIM harus menghubungi syarikat perkapalan lain bagi proses mengurus keluar kontena yang terlibat.

“Setakat ini ada 4,000 kontena yang masih terkandas di Pelabuhan Klang khususnya di Westport yang patut dikeluarkan melalui syarikat perkapalan ini. 4,000 kontena itu adalah kontena ‘transhipment’ yang patut mereka keluarkan.

“Jadi apabila kita ambil tindakan (larangan) ini, maka syarikat perkapalan ini perlu menghubungi syarikat perkapalan lain supaya mengangkut keluar kontena ini dalam masa terdekat untuk ke destinasi seterusnya,” katanya seperti dilaporkan BH.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pajakan antara MRT Corp dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi Jajaran MRT Laluan Kajang dan Putrajaya di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan mengenai sekatan ke atas syarikat ZIM, kapal menggunakan bendera Israel atau dalam perjalanan menuju ke sana, daripada berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, syarikat ZIM bertanggungjawab mengatur proses untuk mengeluarkan kontena berkenaan bagi mengelak ia tersadai, justeru mereka diberikan sedikit masa untuk berbuat demikian.

“Dalam tempoh terdekat (mereka perlu keluarkan). Tetapi kita juga beri sedikit masa sebab ia bukannya di satu tempat… 4,000 kontena ini bukan (menuju) satu destinasi atau satu pelabuhan sahaja.

“Jadi bukannya satu syarikat perkapalan boleh selesaikan semua 4,000 sekali gus. Dalam perkara ini kita beri sedikit masa supaya kontena ini (dapat) dikeluarkan,” katanya. – 21 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Sarawak gas feud in the works? Petros takes Petronas to court over licence dispute

RM7.95 mil clash puts both companies at legal odds over gas supply contract 

Related