KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mendakwa Bersatu tidak akan memecat wakil rakyatnya yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri kerana takut Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Menurutnya, Bersatu tidak yakin mereka boleh mempertahankan lima kerusi yang dimenangi jika keadaan itu berlaku.
“(Datuk Seri) Hamzah Zainudin kata Bersatu tidak akan memecat wakil rakyat mereka yang beri sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka hanya digantung. Hakikatnya Bersatu takut jika ada PRK. Bersatu tidak yakin boleh pertahankan lima kerusi itu jika berlaku PRK,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, beliau menyarankan agar lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar selepas ini.
“Eloklah Ahli Parlimen Bersatu lain ikut jejak lima Ahli Parlimen yang sokong PMX (jolokan kepada Anwar).
“Mereka kekal Ahli Parlimen hingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16). Peruntukan dapat dan boleh jaga kawasan dengan hati tenang,” katanya.
Terdahulu, Scoop melaporkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal kekal yakin bahawa tujuh hingga lapan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), akan mengumumkan sokongan mereka kepada Anwar.
Beliau berkata, Ahli Parlimen terbabit yang hanya menunggu masa sesuai untuk mengumumkan perkara itu, terdiri daripada parti Bersatu dan PAS.
Antara nama disebut adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, namun pemimpin terbabit menafikan dakwaan akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.
Pada 28 November lalu, Syed Abu Hussin menjadi Ahli Parlimen PN kelima mengumumkan menyokong kepada Anwar.
Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik. – 21 Disember, 2023