KUALA LUMPUR — Pengguna lebuh raya akan menikmati tol percuma selama dua hari pada 23 dan 26 Disember sempena sambutan Hari Krismas.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan lskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.
“Ia akan bermula dari 12.01 pagi hingga 11.59 malam pada Sabtu ini serta 12.01 pagi hingga 11.59 malam, Selasa,’’ katanya.
Jelas KKR, pemilihan tarikh berkenaan juga bertujuan mengelak tumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian serta penyelarasan logistik tambahan.
Ia juga, katanya bagi penyelarasan logistik lain melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya.
“Selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember ini,’’ katanya.
Justeru KKR berharap agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan merancang perjalanan sebaiknya.
Pada masa sama, KKR menggesa pengguna supaya mematuhi cadangan jadual awal perjalanan yang disyorkan. – 21 Disember, 2023