KUALA LUMPUR – Syarikat perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda telah melaksanakan langkah pemberhentian pekerja di Asia Tenggara selepas 11 tahun terlibat dalam perniagaan berkenaan, sekali gus, menjejaskan masa depan pekerja dan penghantar makanannya menjelang tahun baharu ini.
Situasi itu dijangka bertambah buruk selepas syarikat gergasi penghantaran makanan yang berpangkalan di China, Meituan mengesahkan pada hujung November bahawa ia tidak berminat untuk mengambil alih Foodpanda di Asia Tenggara.
Meituan, sebuah syarikat yang berusia 13 tahun, dilaporkan bertemu dengan Delivery Hero, iaitu syarikat di sebalik Foodpanda di Berlin untuk meneroka potensi pengambilalihan bagi meluaskan pasaran domestiknya.
Bagaimanapun pertemuan awal itu tidak berjaya.
Malah, Delivery Hero pada minggu lepas telah mengumumkan bahawa ia akan menutup hub teknologi di Istanbul dan Taipei selain mengurangkan jumlah pekerja di Berlin serta lokasi antarabangsa yang lain, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan keupayaannya “tanpa menjejaskan potensi pertumbuhan jangka panjang”.
Menurut laporan Tech di Asia, ketua pegawai ekskutif Niklas Östberg menerusi emel dalaman memaklumkan syarikat berkenaan akan menyokong pekerja yang terjejas akibat pemberhentian itu dengan pakej pemberhentian, kaunseling dan bantuan mobiliti.
Pada Oktober, Foodpanda mempunyai pegangan 84.87% pada 2018, 44.23% pada 2019, 69.42% (2020) dan 76.14% pada 2021 di pasaran Malaysia.
Pada 22 September lalu, syarikat The Business Times Singapura melaporkan Foodpanda telah membuang sejumlah pekerja di Asia Pacific ketika ia menetapkan keutamaan untuk menjadi “lebih efisyen, lebih cekap dan lebih tangkas”.
Dalam surat kepada pekerja yang telah didedahkan, CEO APAD Foodpanda Jakob Sebastian Angele berkata ia adalah bagi menyelaras operasi supaya syarikat boleh mengambil pendekatan yang lebih berstruktur pada ‘hari-hari mendatang’.
“Walaupun kita telah melaksanakan beberapa langkah pada awal tahun ini, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk mewujudkan persediaan untuk operasi kita.’’
Beliau menambah ia termasuk mengkaji semula struktur organisasi merentasi rantau dan negara menyusun semula laporan garis pelaporan.
Ini bukan kali pertama Foodpanda menjadi tumpuan kerana mengambil langkah drastik dengan mengurangkan tenaga kerja seluruh Asia Tenggara pada September 2022 bagi meningkatkan keuntungan, diikuti dengan satu lagi pusingan pemberhentian pada Februari 2023.
Syarikat itu memaklumkan hanya pekerja yang bekerja secara langsung terlibat dan bukannya penghantar makanan.
Sehingga kini, jumlah pekerja yang terjejas dengan pemberhentian itu tidak didedahkan.
Sekitar tempoh yang sama pada September, Delivery Hero dilaporkan sedang berunding dengan beberapa pihak untuk menjual operasi Foodpanda di pasaran Asia Tenggara di Singapura, Malaysia, Filipina, Thailand, Kemboja, Myanmar dan Laos. – 21 Disember, 2023