Projek Pasport Kemahiran HRD Corp dihentikan: Steven Sim

Ini kerana projek itu tertangguh lebih setahun dan tidak lagi sesuai dilaksanakan

4:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia mengarahkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) untuk tidak meneruskan projek Pasport Kemahiran atau Skills Passport.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, keputusan itu dibuat selepas projek terbabit tertangguh lebih setahun dan mendapati ia tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan.

“Setelah dipertimbangkan, saya sudah mengarahkan HRD Corp untuk menghentikan projek ‘Skills Passport’. Ia telah tertangguh selama lebih setahun, dan kementerian mendapati projek itu tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sim menjelaskan bahawa keputusan itu dilakukan selaras dengan tiga teras yang akan diberi penekanan kementerian di bawah pentadbirannya iaitu memperkukuh kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan (produktiviti) pekerja.

Terdahulu, media melaporkan surat bertarikh 10 April yang dipetik dalam laporan The Vibes menyatakan kebimbangan yang dibangkitkan Kementerian Kewangan (MoF) mengenai kelulusan Lembaga Pengarah HRD Corp terhadap inisiatif Pasport Kemahiran.

Bagaimanapun, surat MoF berkata, berdasarkan minit mesyuarat lembaga pengarah HRD Corp sebelum ini, kelulusan untuk inisiatif itu tidak pernah diminta, dan apa yang telah dibentangkan hanyalah kemas kini.

Surat itu juga menyatakan kekurangan kertas kerja yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah untuk mendapatkan keputusan, selain memaklumkan proses pelaksanaan dan perolehan bagi projek Pasport Kemahiran tidak teratur.

Perolehan program itu dikatakan bernilai antara RM53 juta hingga RM159.47 juta setahun.

Seorang pegawai kanan di HRD Corp yang juga menganggotai Lembaga Pengarahnya, dikatakan sebagai salah seorang yang mendalangi percubaan untuk mendapatkan kelulusan bagi inisiatif Pasport Kemahiran.

Isu menyelubungi inisiatif itu terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pembantu yang dikaitkan dengan bekas Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar baru-baru ini berhubung dakwaan rasuah melibatkan pengambilan pekerja asing.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, kementerian itu akan merangka Dasar Sumber Manusia Negara sebagai panduan utama dalam usaha memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan produktiviti pekerja.

“Ia termasuk mempersiap pasaran buruh yang mampu menghadapi cabaran masa hadapan seperti perkembangan teknologi digital, agenda negara menua, ekonomi hijau, ketidakpadanan pekerjaan dan keperluan pekerjaan wajar (“decent work”) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani,” katanya.

Menurutnya, beliau turut mengarahkan kementeriannya untuk melaksanakan projek perintis Dasar Gaji Progresif dengan kadar segera susulan pembentangan Kertas Putih Gaji Progresif di Parlimen.

“Tindakan itu sebagai usaha membolehkan golongan pekerja memperoleh gaji yang lebih bermaruah dan wajar.

“Kementerian akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi untuk menjayakan pelaksanaan projek perintis ini dan usaha lain bagi mereformasikan pasaran buruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pelantikan Bendahari Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE), Chee Yeeh Cheeu sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas di kementeriannya.

“Sejak awal pelantikan, saya menyatakan iltizam untuk berdiri bersama pekerja. Oleh itu, saya berbesar hati melantik seorang aktivis kesatuan sekerja, Chee Yeeh Ceeu, sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas.

“Beliau adalah seorang aktivis gerakan buruh yang mempunyai 15 tahun pengalaman aktif dalam pergerakan kesatuan sekerja. Perlantikan ini membolehkan penglibatan lebih rapat golongan pekerja dalam pembuatan dasar di peringkat kementerian,” katanya.

Steven Sim bersama timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengadakan sesi jelajah ke setiap jabatan dan agensi bagi memahami fungsi dan peranan dalam kementerian itu. – Gambar Kementerian Sumber Manusia, 20 Disember, 2023

Jelas Steven Sim, beliau bersama dengan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengadakan sesi jelajah ke setiap jabatan dan agensi bagi memahami fungsi dan peranan dalam kementerian itu.

“Saya merakamkan penghargaan kepada kakitangan kementerian yang menyambut kehadiran kami dan memberikan taklimat.

“Bermula dari sini, kementerian akan membuat perancangan untuk mengoptimumkan fungsi bagi setiap jabatan dan agensi,” katanya.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia akan tetap berpegang kepada prinsip integriti, ketelusan dan tatakelola yang baik berpandukan nilai-nilai Madani dalam setiap tindakan yang dibuat demi kebaikan golongan pekerja, rakyat secara amnya dan negara. – 20 Disember, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related