GENEVA ― Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengklasifikasikan strain koronavirus JN.1 sebagai “varian berkepentingan” (VOI) dan bukti semasa menunjukkan risiko kepada kesihatan awam adalah rendah daripada strain itu.
Sekurang-kurangnya dua pakar memberitahu Reuters walaupun strain itu boleh ‘mengelak’ sistem imun dan menular dengan lebih mudah daripada varian lain, ia tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan yang teruk.
Pakar virologi di Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg, Andrew Pekosz berkata, walaupun mungkin terdapat lebih banyak kes disebabkan varian itu, JN.1 tidak menimbulkan risiko yang lebih besar.
JN.1 sebelum ini diklasifikasikan sebagai VOI yang berkait rapat dengan varian BA.2.86, tetapi WHO kini mengklasifikasikannya sebagai VOI berasingan.
WHO berkata, vaksin sedia ada akan terus melindungi seseorang daripada jangkitan teruk dan kematian daripada JN.1 dan varian lain yang masih menular ketika ini.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) berkata, subvarian JN.1 membentuk kira-kira 15 peratus hingga 29 peratus kes di AS setakat 8 Disember lalu.
CDC memaklumkan, pada masa ini tiada bukti bahawa JN.1 memberikan peningkatan risiko kepada kesihatan awam berbanding varian lain.
Menurut CDC, JN.1 pertama kali dikesan di AS pada September lalu.
Minggu lalu, China mengesan tujuh jangkitan daripada subvarian Covid-19 itu. ― 20 Disember, 2023