Pertuduhan segera suspek bukti PDRM cekap kendali siasatan kes kematian Muhammad Zaharif

Malah, pertuduhan kes itu yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, turut menunjukkan keseriusan pihak pendakwaan ke atas kejadian terbabit

7:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pertuduhan segera dikenakan terhadap pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang didakwa membunuh pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie menunjukkan kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan kes itu.

Peguam pemerhati keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, ia juga menyaksikan betapa cepat pihak berkuasa itu menyelesaikan siasatan.

“Dalam kes ini, menunjukkan kecekapan dan juga bagaimana berlakunya kejadian dan selepas itu betapa cepatnya pihak polis menyiapkan siasatan.

“Lepas tiga hari reman dengan pembuktian yang dihadapkan terus, ada pertuduhan pada hari keempat dan pertuduhan pula, pihak pendakwaan menunjukkan keseriusan mengenai fakta sudah dikumpul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan wakil ahli keluarga mangsa secara langsung di Instagram.

Individu terbabit bertanya pendapatnya sebagai pengamal undang-undang mengenai perkembangan kes Muhammad Zaharif Affendi, termasuk apabila ia sudah dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini.

Wan Azmir berkata, melihat kepada pertuduhan itu yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, ia turut menunjukkan keseriusan pihak pendakwaan ke atas kejadian yang berlaku.

“Seksyen 302 adalah satu kesalahan paling berat yang boleh dikenakan ke atas seseorang di bawah undang-undang.

“Ini menunjukkan keseriusan pihak pendakwaan ke atas apa terjadi tempoh hari,” katanya.

Ditanya adakah kes Muhammad Zaharif Affendi akan kekal dikendalikan di mahkamah berkenaan atau mungkin dibawa ke peringkat lebih tinggi, selain bilakah hari perbicaraan dan adakah tempoh pengendaliannya akan ambil masa panjang susulan sebahagian daripada masyarakat beranggapan kes dihadapkan di mahkamah akan berlarutan lama, beliau tidak menolak kemungkinan itu.

“First of all (pertama sekali), kes ini akan ditetapkan semula di Mahkamah Majistret pada 7 Februari 2024 dan berkenaan sama ada kes ini akan makan masa, semua kes Seksyen 302 akan makan masa.

“Mendapat tarikh awal pada 7 Februari, menunjukkan kes ini akan bermula dengan cepat dan dengan harapan selepas laporan diperolehi, boleh ditetapkan tarikh perbicaraan secepat mungkin, ia adalah petanda baik,” katanya.

Semalam, Wan Azmir menerusi kenyataannya kepada media memaklumkan, pihaknya akan mewakili keluarga Muhammad Zaharif Affendi untuk melihat dua perkara utama.

Perkara itu, katanya, melihat ketelusan proses siasatan polis di pihak keluarga dan tindakan perundangan sivil yang boleh dikenakan terhadap pelaku kes terbabit, bahkan terhadap kerajaan Malaysia.

Muhammad Zaharif Affendi yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jari, 17, maut selepas dilaporkan dilanggar kereta dipandu tertuduh berhampiran pintu pagar utama sekolahnya dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari, Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal, ingin pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan.

Susulan insiden terbabit, suspek ditahan pada hari kejadian sebelum dikenakan tempoh reman tiga hari bermula Sabtu lalu, bagi membantu siasatan.

Ketika prosiding kes pendakwaan itu, pertuduhan terhadap Mohd Nazri dibacakan di hadapan Majistret S Punitha mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan melanggar motosikal Muhammad Zaharif Affendi menggunakan keretanya, sehingga mengakibatkan kematian mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya diketuai Azlina Rasdi, Khairul Azreem Mamat, Wan Azimah Yaacob, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha AP Jora Singh and Low Qin Hui.

Punitha kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 7 Februari 2024.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. – 18 Disember, 2023

Topics

Hangat

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Buddhist leader urges calm, constructive actions following offensive football fan posts

He acknowledges that posts were unkind, unprofessional, but no plans to lodge additional police reports

Related