Tiada layanan istimewa diterima pegawai kanan polis langgar pelajar, ‘ia prosedur biasa’: Polis

Mohd Nazri adalah pesalah biasa dan bukan berprofil tinggi cuma kes dihadapinya menarik perhatian, jadi kawalan ketat perlu diberikan

5:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan wujud layanan istimewa atau ‘double standard’ dalam kes pendakwaan membabitkan pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini adalah tidak tepat.

Menafikan dakwaan itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kawalan tersebut adalah prosedur biasa bagi mengiringi orang kena tuduh (OKT) ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.

Katanya, anggota polis membuat kawalan di mahkamah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman.

Tiada istilah ‘double standard’ kerana layanan diberikan sama seperti pesalah lain.

“Ini adalah kawalan biasa untuk OKT bermula diiringi anggota daripada lokap balai untuk dibawa ke mahkamah, seterusnya dihadapkan ke hadapan hakim.

“Dalam kes ini, OKT adalah pesalah biasa, kita tidak anggap berprofil tinggi pun cuma kes yang dihadapi menarik perhatian, jadi bila menarik perhatian kita perlu adakan kawalan ketat,” katanya seperti dilaporkan media.

Datuk Azizi Mat Aris berkata, polis tidak menganggap kes Mohd Nazri Abdul Razak sebagai berprofil tinggi, namun disebabkan ia telah menarik banyak perhatian, kawalan ketat perlu diberikan atas faktor keselamatan. – Gambar Bernama, 18 Disember, 2023

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi Johari Kassim yang juga Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ke kediaman keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di Taman Chepor Sentosa, Chemor di sini, hari ini.

Azizi berkata, proses siasatan terhadap Mohd Nazri yang juga Deputi Superintenden (DSP) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu, dilakukan secara telus.

Pengendalian proses siasatan itu, katanya. sejajar saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kini ditahan di Penjara Taiping sementara menunggu perbicaraan akan datang,” katanya.

Pendakwaan Mohd Nazri mendapat perhatian dan mencetuskan persoalan, termasuk dalam kalangan pengamal media apabila ketibaannya pada jam 9 pagi di kompleks mahkamah itu, dikawal ketat dengan diiringi lima anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang turut memakai topeng muka.

Tertuduh juga mengenakan seluar hitam dan baju putih, sambil menutup kepala serta wajahnya dengan jaket.

Malah, lebih mencetuskan pertanyaan mengapa dia seolah-olah diberikan layanan istimewa, berbanding apa diterima pesalah lain apabila sebanyak lima kenderaan bercermin gelap milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), digunakan untuk membawa keluar Mohd Nazri sebaik prosiding tamat.

Orang ramai dan media menunggu di luar pekarangan kompleks mahkamah hari ini bagi mengikuti perkembangan kes pegawai kanan polis yang didakwa terhadap pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lalu. – Gambar Bernama, 18 Disember, 2023

Sebahagian pengamal media yang menanti di mahkamah berkenaan seawal jam 7.30 pagi untuk membuat liputan, turut kecewa dengan kawalan polis yang mengiringi tertuduh kerana tidak memberi ruang kepada jurugambar merakamkan fotonya.

Menerusi media sosial pula, netizen meluahkan persoalan itu dan seperti tidak berpuas hati dengan kawalan istimewa diterima tertuduh.

Tertuduh didakwa mengakibatkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Jati, 17, dengan melanggarnya menggunakan kereta berhampiran pintu pagar utama sekolahnya dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari, Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal, ingin pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan.

Susulan insiden terbabit, suspek ditahan pada hari kejadian sebelum dikenakan tempoh reman tiga hari bermula Sabtu lalu, bagi membantu siasatan.

Ketika prosiding kes itu, pertuduhan terhadap Mohd Nazri dibacakan di hadapan Majistret S Punitha mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan melanggar motosikal Muhammad Zaharif Affendi menggunakan keretanya, sehingga mengakibatkan kematian mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya diketuai Azlina Rasdi, Khairul Azreem Mamat, Wan Azimah Yaacob, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha AP Jora Singh and Low Qin Hui.

Punitha kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 7 Februari 2024.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. – 18 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related