KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan mengulangi langkah sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada awal pandemik susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 ketika ini.
Perkara itu ditegaskan Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam sidang media khas berhubung status Covid-19 hari ini.
Beliau menjawab mengenai perkara itu ekoran ada yang bertanya dalam ciapan X terutama keguasaran awam terhadap langkah yang akan diambil kerajaan dalam menangani peningkatan kes.
Menurutnya, untuk Minggu Epidemiologi ke-50 2023 (ME 50/2023) iaitu dari 10 Disember hingga jam 12 tengah hari, 16 Disember, kes baharu yang dicatatkan adalah 20,696 iaitu peningkatan sebanyak 62.2 peratus berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada ME 49/2023.
Katanya, majoriti kes iaitu 97 peratus adalah kategori 1 dan 2 dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 negara ketika ini ialah 5,180,812 kes.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), 151 kes, di mana 96 kes memerlukan alat bantuan pernafasan dan kes kematian sebanyak 28 kes dengan kadar kematian 0.1 peratus.
“Kematian tertinggi adalah dalam kalangan kes yang berusia 60 tahun ke atas (85 peratus) dan yang mempunyai komorbiditi (93 peratus),” katanya.
Beliau berkata, bagi menghadapi lonjakan kes Covid-19 ketika ini, KKM telah memperkukuhkan Pelan Pengurusan Covid-19 melalui lima (5) strategi utama iaitu:
Strategi 1: Pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2;
Strategi 2: Pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek);
Strategi 3: Pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes COVID-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi;
Strategi 4: Pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan; dan
Strategi 5: Pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera.
Katanya, di samping melaksanakan strategi itu, KKM juga menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
Elakkan 3S: Elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat;
Amalkan 3W: Amalkan Wash, Wear dan Warn;
Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka adalah amat digalakkan;
Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi;
Bagi yang bergejala, digalakkan melakukan penilaian kendiri tahap kesihatan serta dinasihatkan agar tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai;
Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk;
Menggalakkan pengambilan vaksin Covid-19 dos tambahan terutama kepada golongan yang berisiko tinggi;
Mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan atau pengamal perubatan swasta terdekat bagi individu positif Covid-19 dan berisiko tinggi.
“Secara keseluruhan, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan, keadaan semasa di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada. KKM akan terus memantau situasi Covid-19 dan varian berkaitan di dalam dan luar negara,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, KKM melihat tiada keperluan untuk mewajibkan orang ramai mengimbas MySejahtera setiap kali memasuki premis restoran atau kedai makan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, KKM menjangkakan berlakunya peningkatan jangkitan kes Covid-19 untuk minggu-minggu akan datang susulan cuti sekolah dan perayaan.
Katanya, ia adalah fenomena global dan akan berakhir untuk tempoh empat ke enam minggu.
Kepada soalan mengenai stok bekalan vaksin ketika ini, beliau berkata, ia mencukupi untuk vaksin dan dos penggalak terutama mereka yang mempunyai risiko komorbiditi.
“Dengan apa yang ada (stok vaksin) masih lagi efektif, boleh lagi melindungi apa-apa (varian) Covid-19. Malah kerajaan sedang dalam proses mendapatkan stok baharu untuk vaksin Covid-19 Pfizer,” katanya.
Mengenai kaedah mendapatkan dos termasuk dos penggalak, katanya, ia boleh dilakukan secara ‘walk-in’ atau janji temu. – 18 Disember, 2023