Kes bunuh pelajar: Dikawal ketat, diiringi 5 kenderaan bercermin gelap, Mohd Nazri terima ‘layanan istimewa’?

Persoalan itu bukan sahaja diajukan netizen, malah pengamal media yang turut kecewa apabila tidak diberi ruang untuk membuat liputan dengan lancar

3:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kes pendakwaan pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, ‘panas’ dan mencetuskan persoalan dalam kalangan beberapa pihak, termasuk warga maya dan pengamal media.

Ia susulan ketibaan tertuduh yang juga Deputi Superintendan (DSP) pada jam 9 pagi di kompleks mahkamah itu diiringi lima anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang turut memakai topeng muka.

Tertuduh turut mengenakan seluar hitam dan baju putih, sambil menutup kepala serta wajahnya dengan jaket.

Malah, lebih mencetuskan pertanyaan mengapa dia seolah-olah diberikan layanan istimewa, berbanding apa diterima pesalah lain apabila sebanyak lima kenderaan bercermin gelap milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), digunakan untuk membawa keluar Mohd Nazri sebaik sahaja prosiding tamat.

Sebahagian pengamal media yang menanti di mahkamah berkenaan seawal jam 7.30 pagi untuk membuat liputan turut kecewa dengan kawalan polis yang mengiringi tertuduh kerana tidak memberi ruang kepada jurugambar merakamkan fotonya.

Menerusi media sosial pula, netizen meluahkan persoalan itu dan seperti tidak berpuas hati dengan kawalan istimewa diterima tertuduh.

“Kenapa dia macam dapat layanan istimewa sampai escort (diiring) ramai-ramai polis,” kata seorang netizen.

“Terpaling VIP sangat ke sampai kena kawal bagai,” tulis Ira.

“Takut ke, tahu pula takut, yang dia tunjuk baran dia boleh pula sampai mati anak orang,” komen Izzat.

Orang ramai dan media menunggu di luar pekarangan kompleks mahkamah hari ini bagi mengikuti perkembangan kes pegawai kanan polis yang didakwa terhadap pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lalu. – Gambar Bernama, 18 Disember, 2023

Bagaimanapun, ada segelintir netizen berpendapat, kawalan ketat diberikan itu bukan ‘keistimewaan’, sebaliknya mungkin sebagai melindungi keselamatan tertuduh daripada amarah mana-mana individu atau pihak.

Ia memandangkan kes dihadapinya berat dan mendapat liputan meluas masyarakat yang rata-rata mengecam teruk kerana tertuduh didakwa melanggar sehingga menyebabkan kematian mangsa.

“Orang awam masih waras, sepatutnya tertuduh yang perlu berfikir dengan waras, bagi contoh yang baik kepada awam, bukan bertindak ikut suka hati je,” kata seorang pengguna media sosial.

“Jangan risau, netizen tak buat apa-apa kat dia, marah…memang kami marah tapi nasi dah jadi bubur, semoga nasib arwah terbela,” tulis Cakra.

Ketika prosiding kes itu, pertuduhan terhadap Mohd Nazri dibacakan di hadapan Majistret S Punitha mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan melanggar motosikal Muhammad Zaharif Affendi menggunakan keretanya, sehingga mengakibatkan kematian mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya diketuai Azlina Rasdi, Khairul Azreem Mamat, Wan Azimah Yaacob, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha AP Jora Singh and Low Qin Hui.

Punitha kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 7 Februari 2024.

Abang Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, Zarul Fitri Muhd Zamrie (kiri) tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar pertuduhan ke atas pegawai kanan polis yang didakwa hari ini. – Gambar Bernama, 18 Disember, 2023

Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

Semalam, Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan memaklumkan, suspek didakwa hari ini di Mahkamah Majistret Ipoh berhubung insiden terbabit.

“Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan yang dikemuka dalam kertas siasatan, jabatan ini mendapati bahawa terdapat keterangan mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan terhadap suspek.

“Justeru, suspek akan dituduh secara tentative di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret, Ipoh, pada Isnin 18 Disember 2023.

“Mahkamah Majistret kemudian akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan,” katanya.

Poster Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi, 17 yang maut akibat dilanggar sebuah kereta ditampal di lokasi nahas terbabit di Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh. – Gambar Bernama, 18 Disember, 2023

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, Muhammad Zaharif Affendi, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta berhampiran pintu pagar utama sekolahnya.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal, ingin pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan.

Susulan insiden terbabit, suspek ditahan pada hari kejadian sebelum dikenakan tempoh reman tiga hari bermula Sabtu lalu, bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Scoop melaporkan, Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan menerusi kenyataan berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat pelajar terbabit mendapati, punca kematian adalah kecederaan di dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.

Beliau turut mengesahkan pemandu yang terbabit dalam kemalangan melanggar pelajar itu adalah seorang anggota polis berpangkat pegawai kanan polis dari Kontinjen Kedah yang kemudian direman tiga hari sejak Sabtu lalu berhubung insiden berkenaan.

Jelasnya, PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawai sendiri sekiranya mempunyai bukti kukuh.

“Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang boleh menganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam,” katanya. – 18 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related