Kes Covid-19 makin meningkat: Kembali laksanakan WFH, PKP pilihan terakhir

Pakar kesihatan mahu orang ramai pakai pelitup muka, jaga penjarakan sosial

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kembali laksanakan ‘work from home’ (WFH) atau ‘bekerja dari rumah’ untuk sektor pekerjaan tertentu atau kuat kuasa prosedur operasi standard (SOP) yang diaplikasikan tiga tahun lalu.

Itu saranan Pakar Kesihatan Awam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Mohammad Farhan Rusli ketika dihubungi Scoop susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Bagi tempoh seminggu bermula 10 hingga 16 Disember lalu, sebanyak 20,696 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara, meningkat hampir 8,000 kes berbanding minggu sebelumnya.

Pakar Kesihatan Awam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Mohammad Farhan Rusli. – Gambar media sosial, 18 Disember, 2023

Menurut Mohammad Farhan, WFH adalah kaedah yang amat efektif bagi ‘mengurangkan pergaulan’ di tempat kerja.

“Bagi syarikat-syarikat yang masih boleh menjalankan tugasan dengan efektif walaupun WFH dilaksanakan, kaedah ini amat disarankan.

“Selain itu, saya juga melihat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) harus dielakkan dengan bersungguh-sungguh dan hanya menjadi pilihan terakhir, bukan pilihan utama (untuk mengekang penularan kes Covid daripada terus meningkat).

“Ini kerana ia melibatkan ekonomi, kelangsungan hidup dan banyak lagi perkara lain yang harus kita jaga (ambil kira),” katanya.

Menurut hantaran di platform X oleh Covid19Place yang turut dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, jumlah kes aktif direkodkan pada minggu ini adalah 28,375 kes.

Dalam pada itu, infografik sama turut menunjukkan jumlah kematian dalam tempoh itu adalah sebanyak 28 kes.

Mengulas lanjut, Mohammad Farhan berkata, pihaknya juga menyarankan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga dengan melakukan pematuhan kendiri.

Katanya, antara langkah itu ialah sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial seperti diaplikasikan tiga tahun lalu.

“Penjagaan (daripada terkena) Covid-19 harus dilaksanakan dengan pematuhan kendiri. Ini termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial bertempat dan juga penjagaan kebersihan.

“Namun, ini harus dilaksanakan oleh individu dan bukan bergantung kepada arahan kerajaan,” katanya.

Peniaga, Alis Alwani Zaini. – Gambar Juliana Johar/Scoop, 18 Disember, 2023

Sementara itu menerusi tinjauan Scoop, seorang peniaga, Alis Alwani Zaini, 24, berkata, SOP perlu dititikberatkan oleh setiap individu dengan kembali mengamalkan rutin penjagaan diri yang ketat.

“Orang ramai dah kena pakai pelitup muka semula, kena jaga kebersihan dengan mengamalkan penggunaan ‘hand sanitizer’ semua itu kita kena aplikasikan semula.

“Elakkan untuk pergi ke tempat-tempat sesak dan selalu jaga penjarakan sosial agar jumlah kes tidak lagi meningkat seperti yang dilaporkan KKM (Kementerian Kesihatan).

“Kalau ada simptom, kena sentiasa berjaga-jaga dengan segera mendapatkan rawatan,” katanya.

Penjawat awam, Mohammad Ishak Ramin, 38, pula berkata, sebagai bapa kepada tiga anak, dia sentiasa meletakkan keselamatan penjagaan diri anak-anak pada tahap tertinggi.

Menurutnya, dia akan sentiasa memastikan anak-anak memakai pelitup muka sekiranya keluar rumah dan segera melakukan ujian kendiri jika berasa tidak sihat dan mempunyai simptom-simptom virus tersebut.

Penjawat awam, Mohammad Ishak Ramin. – Gambar Juliana Johar/Scoop, 18 Disember, 2023

“Peningkatan kes yang agak drastik sejak kebelakangan ini memang menimbulkan kerisauan saya sebagai bapa.

“Penjagaan diri yang rapi perlu diberikan kepada anak-anak agar mereka tidak dijangkiti Covid-19 dan saya memang akan pakaikan pelitup muka kepada mereka sekiranya keluar rumah.

“Kalau sesiapa yang ada simptom seperti batuk-batuk, memang saya dan isteri akan peka dan melakukan ujian kendiri atau mendapatkan rawatan segera di klinik,” katanya. – 18 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related