KUALA LUMPUR – Seorang doktor yang berkhidmat di Sabah kecewa dengan keadaan jalan utama menghubungkan pantai timur Sabah dengan Kota Kinabalu yang rosak teruk.
Menerusi perkongsian di platform X, Dr Iman Azlan berkata, jalan tersebut merupakan laluan sama digunakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Jelajah Kembara Borneo pada September lalu.
Menurutnya, laluan tersebut baharu sahaja siap dibina dan dalam keadaan cantik sebelum itu tetapi rosak teruk dalam tempoh tiga bulan.
“Masa YDPA lalu bukan main cantik sebab baru siap. Hari ini beberapa bulan selepas itu, dah macam ini (rosak).
“Ini satu-satunya jalan yang menghubungkan pantai timur Sabah (Tawau, Lahad Datu, Semporna) dengan Kota Kinabalu,” katanya.
Gara-gara keadaan jalan berlubang dan tidak rata itu, Dr Iman mendakwa dia terpaksa membelanjakan ribuan ringgit untuk membaiki kenderaannya akibat jalan rosak.
“Kadang-kadang aku terfikir. Apa yang salah sebenarnya? Lori besar? Jalan tak ikut spesifikasi? Entahlah.
“Tapi sebagai pengguna jalan ini. Memang rasa kecewa sangat. Banyak kereta tersadai di bahu jalan lepas lalu jalan ni. Hari tu berhabis ribu-ribu repair (baiki) semua,” katanya.
Rata-rata penduduk di kawasan itu turut bersetuju dengan kenyataan Dr Iman dan mendakwa laluan itu sudah diperbaiki sebelum ini dan kembali rosak sejak beberapa bulan lalu.
“Saya sebagai orang yang akan ulang alik Sandakan-Kunak satu dua kali hampir setiap bulan sangat setuju. Dari Sandakan tu bila dah sampai CP lega kejap, masuk Kinabatangan nangis balik sampailah Lahad Datu. Eloknya kejap sangat, lepas tu rosak balik. Aneh,” kata @ausyaaLya.
“Baru lalu tadi jalan Telupid-Ranau. Sebiji-sebiji lubang besar. Jalan tidak rata jangan cakaplah. Sampai lori pun bagi signal mahu pakai Lorong sebelah. Penat pinggang drive. Sakit hati lagi kalau terlanggar lubang. Tujuh tahun ulang alik jalan ni surrender aku,” kata @miscssan.
Sementara itu, terdapat netizen yang berseloroh agar Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengadakan Kembara Borneo ke Sabah setiap bulan agar isu jalan rosak itu dapat diatasi segera.
“Tuanku kena melawat Borneo ni sebulan sekalilah nampaknya,” kata @BuragasAnatomi.
Dalam ciapan berasingan, seorang penduduk di Sabah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam isu jalan rosak itu.
“MyKinabatangan (Datuk Seri Bung Moktar Radin) nak tunggu jalan putus terus ke? @anwaribrahim (Perdana Menteri) tolonglah. Tak minta highway (lebuhraya) pun, minta jalan elok je cukup. Ya Allah,” tulisnya dengan diakhiri emoji sedih.
“Dah bagi peruntukan yang besar pun Sabah tetap sama je. Autonomi dah bagi ikut MA63 tapi kena rakyat masih tidak terbela? Jangan salahkan pusat sebab kebenaran untuk kelulusan projek di bawah RM50 juta telah diberikan,” kata @southern_roar.
Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut melalui jalan digunakan penduduk Sabah ketika Jelajah Kembara Borneo pada 3 September lalu.
Ia turut membabitkan beberapa laluan di Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dari Tawau ke Kuching, Sarawak untuk meninjau perkembangan projek berkenaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan pakej empat itu (Sabah) tidak sempat disiapkan sempena lawatan Agong kerana ia hanya akan siap pada Ogos 2024.
“Di Sabah, projek bermula agak lewat iaitu pada 2016, Sarawak bermula pada 2015. Jadi, banyak lagi isu yang memberi kesan kepada kelewatan pelaksanaan pakej-pakej di Sabah,” katanya. – 17 Disember, 2023