KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie memohon saksi kejadian tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung pelajar berusia 17 tahun itu yang maut dilanggar pegawai polis di Ipoh, Perak semalam.
Menerusi media sosial kakak arwah, Nur Zawani Muhd Zamrie, 28, dia memohon orang ramai membantunya mengesan individu dikenali Ameer Ruzairi, dipercayai saksi yang melihat insiden adiknya dilanggar pegawai polis tersebut.
“Saya mohon sesiapa yang mengenali adik ini bantu saya mencari dia. Saya perlukan dia untuk jadi saksi kes adik saya. Saya merayu,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut kejadian yang berlaku pada petang semalam, Nur Zawani mendakwa, ketika sedang memberikan bantuan kepada adiknya, dia ada terdengar ramai saksi mengatakan arwah sengaja dilanggar oleh individu berkenaan.
Susulan itu, Nur Zawani mewakili keluarganya berharap agar saksi segera tampil bagi membantu menegakkan keadilan buat arwah adik bongsunya.
“Ketika saya sedang beri bantuan kepada adik, ramai yang bersuara mengatakan adik saya sengaja dilanggar. Tapi dalam keadaan yang tidak keruan itu saya tidak dapat fokus untuk melihat siapa yang berkata.
“Saya perlukan saksi kejadian untuk tampil membuat laporan di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Ipoh.
“Dengan rendah diri saya mohon dan merayu sangat-sangat bantulah saya untuk menegakkan keadilan buat arwah adik saya,” katanya.
Sementara itu, Ameer Ruzairi menerusi media sosial miliknya menulis kronologi dipercayai bagaimana insiden itu berlaku di depan matanya.
Ameer mendakwa, pegawai polis tersebut dikatakan sengaja melanggar Allahyarham sehingga menyebabkan kecederaan pada mangsa.
“Saya saksi keadaan depan mata saya, polis tu ligan si mangsa satu taman sampai dekat simpang tiga si mangsa give up, dia slow kan (perlahankan) motosikal dia.
“Jarak motosikal dengan si polis itu 4-5 meter, dia perlahankan motosikal dia dengan harapan kereta belakang yang kejar tu ikut slow tapi kereta tu langgar terus mangsa.
“Dua tayar kanan lenyek abdomen kanan mangsa. Saya saksi betul-betul depan accident (kemalangan) tu, saya dekat tepi bahu jalan,” dakwanya.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas pemandu terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuat bunyi bising ekzos ketika perjalanan pulang dari sekolah dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.
Dikatakan, ketidakpuasan hati itu mendorong pemandu berkenaan mengejar motosikal ditunggang remaja itu kira-kira satu kilometer (km) sebelum melanggarnya dari belakang.
Akibat pelanggaran itu, mangsa yang masih lengkap berpakaian sukan sekolah terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan terbabit.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Suspek yang bertugas sebagai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah itu kini direman tiga hari bermula hari ini.
Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi jaminan siasatan berhubung kes kemalangan membabitkan pelajar lelaki berusia 17 tahun maut dilanggar sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis, di Meru, Ipoh itu dijalankan secara telus dan adil.
Razarudin berkata, setakat ini pihak polis telah merakam kenyataan tujuh orang saksi membabitkan pelajar sekolah terbabit yang melihat dan berada di tempat kejadian. – 16 Disember, 2023
Assalamualaikum..saya wakil dari keluarga arwah ingin memohon bantuan sekiranya ada saksi yg boleh tampil ke hadapan untuk memberi kenyataan.. boleh dm saya atau @einawaz_run ..kepada adik ameer..keluarga arwah merayu tampilkan diri utk menjd saksi@MohKeIpoh pic.twitter.com/EvzN0zHj94
— sarah ceo of gummy (@sarah_azrahi) December 16, 2023