KUALA LUMPUR – Kisah seorang pelajar tingkatan 5 di sebuah sekolah di Jalan Taman Jati, Ipoh yang maut dipercayai dilanggar seorang anggota polis, semalam terus menjadi bualan netizen di media sosial.
Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib menimpa mangsa dikenali sebagai Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, selain berang dengan tindakan anggota polis berkenaan yang bertindak mengikut perasaan.
Terbaharu, seorang individu tampil berkongsi cerita mengenai kejadian yang berlaku pada tengah hari semalam.
Menerusi tangkap layar dikongsi orang ramai yang tular di Facebook, individu terbabit mendakwa anggota polis itu mengejar mangsa sebelum dia kemudiannya menyerah diri.
Namun ceritanya lagi, apabila anggota terbabit menghampiri mangsa yang sudah memperlahankan motosikalnya, dia kemudian bertindak melanggar remaja berkenaan.
“Saya saksi keadaan depan mata saya, polis tu ligan (kejar) mangsa satu taman sampai dekat simpang tiga, mangsa give up (menyerah diri).
“Dia slowkan (perlahankan) motosikal dia, jarak motosikal dengan polis tu empat ke lima meter. Dia slowkan motosikal dia dengan harapan kereta belakang yang kejar tu ikut slow.
“Tapi kereta tu langgar terus mangsa. Dua tayar kanan lenyek abdomen kanan mangsa. Saya saksi betul-betul depan kemalangan itu. Saya dekat tepi bahu jalan (semasa kejadian),” katanya.
Menerusi beberapa perkongsian netizen di Facebook, anggota polis itu berpakaian biasa semasa kejadian dan memandu kereta jenis Perodua Ativa dipercayai milik isterinya yang juga guru di sekolah terbabit.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas pemandu terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuat bunyi bising ekzos ketika perjalanan pulang dari sekolah dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.
Dikatakan, ketidakpuasan hati itu mendorong pemandu berkenaan mengejar motosikal ditunggang remaja itu kira-kira satu kilometer (km) sebelum melanggarnya dari belakang.
Akibat pelanggaran itu, mangsa yang masih lengkap berpakaian sukan sekolah terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan terbabit.
Saksi kejadian turut memaklumkan, pemandu kereta berkenaan kemudiannya berpatah balik ke lokasi untuk melihat keadaan mangsa sebelum beredar selepas menyedari kehadiran orang ramai.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk bedah siasat.
Terdahulu, media melaporkan pegawai kanan polis ditahan bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan pelajar terbabit, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pegawai kanan polis dari Kontinjen Kedah itu akan direman hari ini untuk siasatan lanjut. – 16 Disember, 2023