KUALA LUMPUR — Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz dipilih sebagai Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi sesi 2023 – 2025.
Jawatankuasa Pemilihan Bersih dalam satu kenyataan memaklumkan proses pengundian bagi pemilihan dijalankan atas talian hari ini dengan 45 kertas undi diterima daripada 61 NGO yang membentuk gabungan Bersih.
Faisal menerima 23 undi manakala seorang lagi calon, Gopalan K Papachan (22 undi).
“Jumlah pengundian adalah sebanyak 74% dengan kertas undi telah dibuka dan dikira sejurus penutupan pengundian pada jam 5 petang tadi.
“Berdasarkan keputusan ini, Jawatankuasa Pemilihan mengisytiharkan saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz dipilih sebagai Pengerusi Bersih bagi sesi 2023 – 2025,” katanya hari ini.
Jawatankuasa Pemilihan mengucapkan setinggi tahniah kepada calon yang telah berjaya dan semoga menjalankan amanah dengan baik untuk memimpin Bersih bagi tempoh 2023 – 2025.
Terdahulu pada 19 November lalu, Pengerusi Bersih, Thomas Fann meletak jawatan dengan memberikan notis dua bulan susulan mengakui tidak mampu untuk memimpin jawatankuasa berkenaan yang sudah dibahagikan.
Thomas berkata, pasukannya berkempen untuk membawa Bersih sebagai institusi rakyat, manakala bekas Pengerusi Persatuan Pemuda Baru (UMANY), Wong Yan Ke mendesak untuk mengembalikan semula Bersih menjadi Gerakan Rakyat.
Menurut Thomas lagi, beliau memberi ruang kepada pembentukan jawatankuasa dengan pemilihan pengerusi baharu yang akan membawa aspirasi berkenaan. – 15 Disember, 2023