Cuepacs gesa kenaikan gaji diselaras segera, ‘tunggu 2025 terlalu lama’

Tempoh dua tahun ditetapkan berkenaan tidak jelas dan bergantung kepada situasi kewangan negara ketika itu, malah perlu disegerakan bagi membantu penjawat awam serta pesara menghadapi kos sara hidup semasa

2:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melaksanakan segera penyelarasan gaji penjawat awam dan tidak menunggu hingga 2025, seperti ditetapkan melalui kajian di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, tempoh dua tahun lagi untuk melaksanakan perkara itu susulan kajian bermula Julai lalu yang dijangka dimuktamadkan pada Oktober 2024 terbabit adalah terlalu lama.

Katanya, kerajaan sewajarnya memberi keutamaan dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan kebajikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang sedang berkhidmat, selain lebih 700,000 pesara kerajaan.

“Tempoh masa ditetapkan untuk melaksanakan SSPA baharu, iaitu pada 2025 juga tidak jelas dan bergantung sepenuhnya kepada situasi kewangan negara ketika itu.

“Tempoh terbabit juga terlalu lama dan wajar disegerakan bagi membantu penjawat awam serta pesara menghadapi kos sara hidup semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sudah lebih sedekad penjawat awam tidak menerima sebarang bentuk penyelarasan dan kenaikan gaji, bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi kini.

“Situasi ini mengakibatkan ada penjawat awam dan pesara tertekan serta tidak mampu menampung kos sara hidup yang sentiasa meningkat saban tahun, terutama di bandar besar.

“Penjawat awam ketika ini memerlukan sistem saraan baharu bagi membantu mereka berdepan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Adnan berkata, Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan pada 2002, bagaikan kerangka ‘rumah lama’ yang sudah tidak sesuai diaplikasikan dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Tiada gunanya jika kita mampu mencapai purata pendapatan isu rumah RM10,000 sebulan pada 2025, seperti disasarkan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sekiranya nasib golongan pekerja bawahan dan menengah masih terhimpit dengan kadar gaji di bawah paras kemiskinan,” katanya.

Pada masa sama, Adnan berkata, Cuepacs berterima kasih atas keprihatinan kerajaan untuk meneruskan pemberian bantuan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP), bagi Januari hingga Disember 2024, sekali gus memastikan pesara kerajaan terus menerima amaun pencen semasa.

Keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkaitan Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013, mengakibatkan bayaran pencen kepada semua pesara perlu dikembalikan kepada amaun pencen asal.

“Bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012, manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

“PKKP adalah pembayaran perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal, bagi menjadikan amaun diterima pesara setiap bulan sama seperti amaun pencen semasa.

“Cuepacs sangat menghargai keputusan ini dan melihat ia suatu komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan pesara kerajaan yang banyak menabur bakti semasa berkhidmat,” katanya. – 15 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related