GAZA – Kementerian Luar Palestin mengecam tindakan tentera Israel mempersenda laungan azan menggunakan pembesar suara di sebuah masjid di Jenin.
Insiden itu berlaku semasa serbuan selama tiga hari di Tebing Barat yang diduduki, di mana tentera Israel membunuh 12 rakyat Palestin, termasuk seorang pemuda ditembak mati di sebuah hospital.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan tentera Israel berada di dalam masjid dengan salah seorang daripada mereka membaca doa Yahudi dari mimbar.
Dalam klip lain, kedengaran tentera Israel ketawa di luar masjid dan lagu Hanukkah iaitu perayaan bagi meraikan rampasan Baitulmaqdis, berkumandang dari pembesar suara.
Ketika ditanya pemberita mengenai kejadian itu, tentera Israel memberitahu anggota tersebut sudah disingkirkan dari operasi ketenteraan mereka di Gaza.
Tentera Israel berkata, anggota terbabit akan berdepan tindakan disiplin yang sewajarnya.
Sekurang-kurangnya 18,787 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Oktober lalu dengan kebanyakan yang maut terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Pengarah Bulan Sabit Merah Palestin di Jenin, Mahmoud Al-Saadi berkata, tentera Israel tidak membenarkan ambulans memasuki kem untuk mengangkut pesakit yang tenat.
“Tentera tidak membenarkan kami masuk,” katanya sambil menambah tentera ditempatkan di luar hospital.
Beberapa saksi di Jenin menggambarkan lelaki bersenjata berbalas tembakan dengan tentera Israel dan meletupkan bahan letupan buatan sendiri.
Jentolak tentera Israel juga merosakkan jalan dan paip air, kata penduduk.
Sementara itu, The Times of Israel melaporkan percubaan Israel untuk mengepam air laut ke dalam terowong Hamas terbukti berjaya, meskipun tiada maklumat sahih berkenaan perkara itu.
Rancangan itu dilaporkan secara meluas walaupun ramai pihak menyatakan keraguan sama ada ia akan terbukti sebagai kaedah sesuai untuk memusnahkan terowong tersebut.
Ramai juga bimbang tentang apa yang akan berlaku kepada tawanan yang ditahan di dalam terowong jika kawasan itu dinaiki air. – Agensi