KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan yang baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan tugasnya secara rasmi hari ini.
Beliau tiba kira-kira pukul 8.30 pagi di Dataran Wisma Pertahanan di sini dengan disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak bersama-sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Penglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno turut menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Selepas upacara itu, beliau meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu pada jam 8.40 pagi sebagai simbolik melaporkan diri di pejabatnya di Wisma Pertahanan, di sini.
Pada pagi Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Mohamed Khaled sebagai Menteri Pertahanan.
Menerusi rombakan itu, Mohamed Khaled ditukarkan daripada jawatan Menteri Pendidikan Tinggi kepada Menteri Pertahanan.
Beliau mengambil tempat Datuk Seri Mohamad Hasan yang ditukarkan sebagai Menteri Luar manakala tempatnya diisi, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. – 15 Disember, 2023