PUTRAJAYA – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) akan memberi taklimat kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ketua pengarah baharu jabatan berkenaan dilantik.
Fahmi berkata, beliau masih belum bertemu dengan wakil jabatan yang kini melapor diri kepada kementeriannya, susulan langkah penstrukturan semula berdasarkan rombakan Kabinet semalam.
“Kita perlu beri mereka (J-Kom) sedikit masa dan ruang untuk memberi taklimat kepada kita sebelum saya boleh ulas mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media mesyuarat pasca Kabinet di kementerian itu di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini mengenai posisi Ketua Pengarah J-Kom baharu, selepas bekas ketua pengarahnya, Datuk Mohammad Agus Yusoff meletakkan jawatan.
Tidak lama selepas peletakan jawatannya, Agus terbabit kontroversi hangat apabila video tidak senonoh yang didakwa memaparkan beliau dan penolong pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani tular di media sosial.
Dalam satu sidang media bersama pada 17 November lalu, kedua-dua lelaki itu mengaku membuat panggilan video, namun menegaskan, audio dalam klip tular terbabit disunting untuk menjadikannya terdengar seperti perbualan lucah.
Agus dan Wahab juga mendakwa bahawa seorang individu dikenali sebagai ‘Mr H’ yang bekerja di J-Kom, menjadi dalang di sebalik kontroversi klip itu bertujuan untuk mencemarkan nama Agus.
Mereka juga mendakwa bahawa Mr H mengarahkan Wahab yang juga Naib Ketua Pemuda PKR Hulu Langat, merakam panggilan video itu sebagai perangkap.
Susulan siasatan dijalankan pihak berkuasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu dikenali sebagai Mr H itu sudah tampil memberikan kenyataannya kepada polis.
Minggu lalu, Scoop melaporkan Wahab mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan, ahli jawatankuasa penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard dan pengarah bahagian J-Kom, Hakim Ramlee.
Hakim sebelum ini menafikan dakwaan penulis blog Raja Petra Kamarudin bahawa beliau adalah Mr H, dengan melabelkan tuduhan itu sebagai berniat jahat dan rambang.
Terdahulu, J-Kom yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia ketika itu, sebelum dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. – 13 Disember 2023