Perhimpunan Agung PBB lulus draf resolusi tuntut gencatan senjata di Gaza

Draf resolusi disokong 153 daripada 193 anggota Perhimpunan Agung

9:07 AM MYT

 

WASHINGTON – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai draf resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

Resolusi tidak mengikat itu dibentangkan oleh Mesir dengan 153 undi menyokong pada Perhimpunan Agung 193 anggota yang berhimpun bagi sesi khas tergempar mengenai Palestin.

Sepuluh negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Austria mengundi menentang resolusi itu manakala 23 negara termasuk United Kingdom (UK), Jerman, Itali dan Ukraine berkecuali.

Di samping menuntut gencatan senjata, resolusi itu menyuarakan kebimbangan terhadap “situasi kemanusiaan” di Semenanjung Gaza dan penderitaan orang awam di Palestin.

Resolusi itu turut menekankan bahawa penduduk awam Palestin dan Israel “mesti dilindungi” berdasarkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa sambil menuntut semua pihak untuk mematuhi kewajipan mereka terutamanya mengenai perlindungan orang awam.

Draf resolusi itu juga menuntut “pembebasan segera dan tanpa syarat” semua tebusan serta memastikan akses kemanusiaan.

Pada Oktober, Perhimpunan Agung mengundi menyokong draf resolusi yang menyeru “gencatan senjata kemanusiaan segera dan berterusan yang membawa kepada menghentikan permusuhan” dengan 121 negara menyokong manakala 14 negara menentang – termasuk AS dan 44 berkecuali. – 13 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related