KUALA LUMPUR – Bacaan Qunut Nazilah, doa setiap kali berlakunya musibah yang menimpa umat Islam, tidak memiliki had tempoh tertentu untuk dibaca.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-813: Tempoh Membaca Qunut Nazilah menjelaskan, ia sunat untuk dibaca selagi musibah yang menimpa itu belum berakhir.
“Namun diingatkan bahawa urusan berkaitan agama Islam adalah berada di bawah ruang lingkup bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu,” katanya.
Penjelasan itu dipercayai berkaitan andaian sesetengah pihak mendakwa tindakan menangguhkan bacaan Qunut Nazilah di sebuah negeri dilakukan atas tekanan tertentu susulan surat pemaklumannya yang tular di laman sosial baru-baru ini.
Isu penangguhan bacaan doa Qunut Nazilah itu mendapat pelbagai reaksi netizen.
Ramai yang tidak bersetuju dan minta bacaan doa itu diteruskan mengambil kira penderitaan berterusan rakyat Palestin yang kini menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menambah, sebarang arahan yang diputuskan di peringkat negeri pastinya telah mengambil kira maslahat dan keadaan semasa bagi negeri tersebut.
“Justeru umat Islam adalah dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berwajib di negeri masing-masing,” katanya.
Menurutnya, di sisi ulamak mazhab Syafi’i, tiada tempoh yang tertentu untuk membaca doa Qunut Nazilah.
Selain itu, Imam al-Tabari dalam kitab Tahzib al-Athar menjelaskan bahawa antara sunnah yang baik untuk diamalkan ketika umat Islam ditimpa musibah ialah membaca Qunut Nazilah pada setiap kali solat fardu sehingga Allah SWT memberikan kemenangan sama ada dengan mengalahkan musuh atau mereka menyerah diri sebagaimana yang berlaku dalam tragedi Bi’r al-Mauunah.
Oleh itu, jelaslah bahawa pelaksanaan Qunut Nazilah tidak memiliki had tempoh yang tertentu. – 13 Disember, 2023