KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan, bersedia melaksanakan tanggungjawab diamanahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, tempoh tidak memegang jawatan Kabinet selepas dilantik ke portfolio Menteri Kesihatan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mei 2018 hingga Mac 2020, adalah ‘rehat mencukupi’.
Justeru, Dr Dzulkefly berkata, apabila diberi peluang, beliau merasakan kini adalah masa terbaik untuk kembali ke Kementerian Kesihatan (KKM) dan bersama-sama membantu memperkukuhkan kerajaan.
“Temui anda dalam waktu terdekat Doc Khairul, warga Menteri Kesihatan dan semua.
“12 bulan sudah berehat atau seperti berhenti sejenak. Bersedia untuk kembali semula,” katanya menerusi Twitter.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada hantaran seorang pegawai perubatan menggunakan akaun @khairul_hafidz yang mengucapkan selamat menjalankan kembali tugas sebagai Menteri Kesihatan.
“Tahniah Dr @DrDzul, selamat kembali YBMK (Yang Berhormat Menteri Kesihatan),” kata individu terbabit.
Pada masa sama, Dr Dzulkefly mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peluang diberikan untuk beliau menerajui Kementerian Kesihatan.
“TQSM (terima kasih) untuk peluang PMX,” katanya.
Pelantikan Dr Dzulkefly dianggap bagai ‘sirih pulang ke gagang’ kerana dia pernah memegang jawatan sama ketik pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, selain sering menjadi nama dicadangkan beberapa pihak, termasuk rakyat untuk dikembalikan ke portfolio itu.
Malah, beliau menunjukkan prestasi dianggap baik sepanjang 22 bulan menerajui Kementerian berkenaan, meskipun tidak memiliki latar belajar pendidikan dalam bidang kedoktoran atau perubatan.
Anwar sendiri pada sidang media pengumuman barisan Kabinet baharu di Putrajaya hari ini memaklumkan, Dr Dzulkefly dilantik semula sebagai Menteri Kesihatan, berikutan pengalamannya diperlukan bagi memperkukuh KKM.
Perdana Menteri berkata, KKM juga terbeban dengan banyak masalah yang sebahagiannya diwarisi, selain memenuhi tuntutan rakyat.
“Pengalaman dia diperlukan, saya percaya fokus lebih kukuh di kementerian itu.
“KKM ini juga terbeban dengan banyak masalah, (dengan) sebahagaian diwarisi untuk memenuhi tuntutan rakyat bagi mendapatkan penjagaan kesihatan lebih baik.
“Kita harap dia dapat jalan tugas dengan baik,” katanya pada sidang media pengumuman barisan Kabinet baharu di sini, hari ini.
Terdahulu, Scoop melaporkan, beberapa jam selepas diumumkan sebagai Menteri Kesihatan baharu, nama Dzulkefly trending di laman X.
Rata-rata netizen menzahirkan ucapan tahniah kepada Dzulkefly yang menyatakan kepulangan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu ke kementerian berkenaan, sememangnya dinanti ramai kerana kelantangannya, termasuk dalam mengharamkan aktiviti merokok di premis makanan.
Ketika menerajui KKM, Dr Dzulkefly menguatkuasakan undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Januari 2020.
Susulan arahan itu, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan atau pelaku berdepan tindakan undang-undang. – 12 Disember, 2023