KUALA LUMPUR – Beberapa jam selepas diumumkan sebagai Menteri Kesihatan yang baharu, nama Datuk Seri Dzulkefly Ahmad trending di laman X.
Rata-rata netizen menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr Dzulkefly yang pernah menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.
Menurut mereka kepulangan semula Ahli Parlimen Kuala Selangor itu sememangnya dinanti ramai kerana kelantangannya dalam mengharamkan aktiviti merokok di premis makanan.
“Dr Dzul kembali sebagai Menteri Kesihatan. Kaki rokok di premis makanan, watch out! (awas),” kata @SyedAkramin.
“Aku ingat lagi. Seorang pun barisan pimpinan PH tak berani merokok bila Dr Dzul ini ada,” kata @MatDani.
“Gembira sangat semasa Dr Dzul kuatkuasakan larangan merokok. Pandai pula perokok sedut rokok di tempat yang dibenarkan. Saya harap KKM pantau kedai makan di kawasan pekan sebab dah lama perhatikan kedegilan perokok di lokasi berkenaan. Tahniah Dr Dzul,” kata @cikziejamil.
“Ya, Dr Dzul memang bagus dekat KKM. Masa kali pertama di pegang dulu, isu buli dalam KKM mula ditangani. Rokok pun dia tegas,” kata @The5H5615.
Dalam pada itu, terdapat netizen yang menggesa agar penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan diteruskan dan diperketat.
“Harap sangatlah ada tindakan tegas untuk perokok yang merokok di premis makanan. Dah nampak ada budak-budak pun gagah gi cucuh. Orang hidup sedut oksigen, kau hidup sedut asap,” kata elchapodiablo99.
“Semoga dilaksanakan dengan ketat. Saya mengandung tengah makan orang sebelah selamba hembus-hembus di meja. Padahal atas kepada ada papan tanda ‘no smoking’. Pemilik kedai dah nampak saya tak selesa tapi buat tak nampak je. Last blah,” kata @Ziza_Rashid.
“Terbaik! Itulah, makin menjadi-jadi orang merokok di kedai makan ni. Dah macam tak ada undang-undang dah,” @MyMediaHub.
Ketika menerajui KKM, Dr Dzulkefly menguatkuasakan undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Januari 2020.
Ketika itu, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.
Beliau menetapkan, bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun sebanyak RM250 boleh dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.
Bagaimanapun, semasa KKM di bawah pimpinan Dr Zaliha Mustafa, beliau mengurangkan denda merokok di kawasan larangan daripada RM10,000 kepada RM5,000 tanpa peruntukan hukuman penjara, mengikut Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang diluluskan pada 30 November lalu.– 12 Disember, 2023
Dr Dzul kembali sebagai Menteri Kesihatan.
— Roman Akramovich (@SyedAkramin) December 12, 2023
Kaki rokok di premis makanan, watch out!! pic.twitter.com/7lCNcuCzBF