KUALA LUMPUR – Seorang pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Menglembu, Ipoh sudah diberikan teguran kerana memberikan layanan tidak profesional kepada pesakit yang mendapatkan perkhidmatan di situ, baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Sirajuddin Hashim berkata, siasatan dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) mendapati bahawa kualiti rawatan disampaikan dan tahap komunikasi pegawai perubatan terbabit, kurang memuaskan.
“Siasatan dilaksanakan pada 11 Disember 2023 mengesahkan bahawa seorang pesakit kanak-kanak yang mengalami demam, batuk dan selesema menerima rawatan di Klinik Kesihatan Menglembu pada 6 Disember 2023.
“Siasatan terbabit mendapati bahawa kualiti rawatan disampaikan dan tahap komunikasi pegawai perubatan itu adalah kurang memuaskan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Justeru, beliau berkata, pegawai perubatan itu sudah diberi teguran supaya berkomunikasi dengan profesional.
Katanya, individu terbabit juga diminta melakukan pemeriksaan klinikal yang baik bagi semua pesakit yang hadir ke klinik kesihatan.
Sirajuddin berkata, bagi memastikan tahap perkhidmatan yang baik dan mengelakkan kejadian sama berulang, pihak JKNP mengarahkan supaya Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Menglembu, menjalankan audit klinikal secara berkala.
“Audit ini untuk memastikan rawatan setiap pesakit yang diberikan berkualiti dan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Peringatan sama turut diberikan kepada semua fasiliti kesihatan di Perak,” katanya.
Terdahulu, seorang wanita, Fatin Nur Syafiwah menerusi luahan di media sosial mendakwa seorang doktor di klinik kesihatan berkenaan bersikap kurang profesional, apabila tidak membuat sebarang pemeriksaan terhadap dua anaknya yang demam selama tiga hari.
Dakwanya, ketika gilirannya tiba, doktor terbabit bertanya apa masalah anaknya sebelum dia memaklumkan mereka demam panas.
Bagaimanapun, doktor itu dikatakan hanya menganggukkan tanpa melakukan apa-apa pemeriksaan terhadap pesakit, termasuk tidak memeriksa suhu badan kecuali hanya mengambil sampel darah anaknya.
Jururawat ditugaskan mengambil darah menegur suhu badan anaknya panas sehingga kanak-kanak itu dilihat menggigil.
Lebih mengecewakan Fatin Nur Syafiwah apabila doktor terbabit secara tiba-tiba berkata, ‘itu budak dua ekor ajak masuk sekali dalam’ sambil ketawa merujuk kepada anaknya.
Wanita itu kemudian berkongsi perkara terbabit di media sosial sambil bertanya adakah etika doktor boleh bersikap seperti itu dalam melayan pesakit.
Perkongsian Fatin Nur Syafiwah berserta foto anaknya sedang menangis kerana tidak sihat itu, meraih perhatian netizen yang bersimpati serta mengecam tindakan pegawai perubatan terbabit.
Ia kemudian sampai ke pengetahuan JKNP dan menerima maklum balas daripada Dr Sirajuddin. – 12 Disember, 2023