PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan rombakan Kabinet pada jam 11 pagi ini.
Perdana Menteri berkata, barisan Kabinet kali ini lebih kecil berbanding pentadbiran lalu tetapi sedikit besar berbanding senarai jemaah menteri sekarang.
Beliau juga memberi bayangan beberapa tugas dan tanggungjawabnya akan dipindahkan, namun tidak menyatakan di kementerian mana.
“Ada sidang media jam 11 pagi ini.
“Ada sedikit pertambahan (menteri) tapi lebih kecil berbanding pentadbiran lalu, saya ada membuat transfering some of my task dan responsibility (pindahkan sebahagian tugas dan tanggungjawab),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.
Menteri tersenarai dalam rombakan Kabinet itu dijadual mengangkat sumpah jawatan dan simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Majlis Penyerahan Surat Cara Pelantikan dan Majlis Angkat Sumpah Menteri-Menteri Persekutuan di Istana Negara pada jam 2.30 petang ini.
Rombakan Kabinet mula diperkatakan selepas Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketiadaan menteri susulan pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Tanggungjawab itu ketika ini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Kabinet Kerajaan Perpaduan diumumkan secara lengkap pada 2 Disember tahun lalu yang menyenaraikan 28 menteri dan 27 timbalan menteri.
Jemaah Menteri diumum Anwar itu juga mencipta sejarah tersendiri apabila menyaksikan dua Perdana Menteri dilantik, iaitu Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan Naib Presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu, rombakan akan dibuat hari ini yang dijangka menampilkan wajah baru dan lama adalah petanda beberapa bekas menteri mungkin membuat kemunculan semula. – 12 Disember, 2023