KUALA LUMPUR – Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) mengakui Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa tegas dalam memastikan semua Pengelola Jemaah Haji (PJH) memenuhi standard dan kriteria ditetapkan.
Presidennya, Harun KC Ahmmu berkata, sebagai bukti, TH menarik balik lesen satu daripada PJH yang dianugerahkan pada musim haji lepas kerana melanggar terma dan syarat Lesen PJH 1444H.
Susulan itu, beliau menasihati semua agensi pelancongan di bawah naungan Bumitra khususnya pemegang lesen PJH agar sentiasa beretika dan menjaga nama baik persatuan dan TH dalam memberikan perkhidmatan dan melakukan aktiviti pemasaran mereka.
“Persatuan tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana ahli yang melanggar etika profesionalisme dalam keghairahan mereka memasarkan perkhidmatan haji, umrah dan pelancongan.
“Kami menyokong usaha TH dalam mengutamakan kualiti perkhidmatan haji tanpa membataskan jumlah syarikat yang layak dilantik sebagai PJH. Ini bermakna, mana-mana agensi pelancongan yang berjaya memenuhi semua kriteria ditetapkan layak menjadi PJH.
“Ini bertujuan untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada semua jemaah sewaktu di Malaysia dan Tanah Suci kelak. Prestasi cemerlang TH di persada ‘Pengendali Haji Dunia’ dapat dikekalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada musim haji lalu, kuota rasmi untuk Malaysia kembali kepada jumlah asal iaitu 31,600 jemaah dan tiada lagi peraturan larangan had usia 65 tahun ke atas bagi semua jemaah haji asing.
Dalam pada itu, Harun berkata, pihaknya yakin dan percaya TH mempunyai mekanisme dan kriteria tersendiri dalam membuat penilaian dan pelantikan sebagai PJH.
“Kesemua agensi pelancongan yang terpilih adalah syarikat berkredibiliti, berwibawa dan mempunyai rekod cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan umrah dan haji.
“Syarikat-syarikat ini juga adalah pemegang lesen sah dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac),” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada TH di atas pelantikan 25 ahlinya sebagai PJH bagi Musim Haji 1445H.
“Pelantikan ini menunjukkan peningkatan jumlah agensi pelancongan yang terbabit berbanding dengan musim haji sebelumnya, di mana hanya 22 syarikat terpilih sebagai PJH,” katanya. – 11 Disember, 2023