Tunggu dalam masa terdekat, ada tujuh ke lapan Ahli Parlimen PN akan sokong PM: MP Bukit Gantang

Alasan peruntukan, membangunkan kawasan masing-masing jadi alasan mahu menyokong Kerajaan Perpaduan

1:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendedahkan tujuh ke lapan lagi Ahli Parlimen PN akan mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Scoop sebagai pengesahan kepada sidang akhbar beliau yang diadakan secara langsung di Facebook hari ini.

Ketika ditanya sama ada wakil rakyat itu terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau PAS, beliau berkata: “(Mereka) wakil rakyat Perikatan Nasional”.

Katanya, wakil rakyat terbabit sudah lama menyatakan hasrat untuk berani ‘keluar daripada parti’ dengan menyokong Perdana Menteri.

“Ada yang datang berjumpa dengan saya dan bercakap (mahu menyokong Perdana Menteri), ada juga yang menghubungi saya.

“Tunggulah, dalam masa terdekat (mereka akan menyatakan sokongan berkenaan),” katanya.

Ditanya sama ada tujuh ke lapan ahli Parlimen itu akan membuat pengumuman bersama atau berasingan, pihaknya masih belum dimaklumkan mengenainya.

“Tapi dalam masa terdekat,” tegasnya.

Kepada soalan mereka akan berbuat demikian, katanya, semuanya atas alasan peruntukan.

“Mereka mahu membangunkan kawasan masing-masing, itu sahaja,” katanya.

Pada 28 November lalu, Syed Abu Hussin menjadi Ahli Parlimen PN kelima mengumumkan menyokong Perdana Menteri.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahmn,; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Terdahulu dalam sidang akhbarnya itu, beliau berkata, lanjutan daripada pengumumannya itu telah menimbulkan banyak spekulasi, pro dan kontra sehingga ada yang menyuruhkan meletak jawatan.

Malah ada juga yang mahu beliau meneruskan apa yang telah dilakukannya.

“Ada juga mengaitkan saya dapat kepentingan peribadi, dapat projek, dapat peruntukan RM30 juta, RM50 juta untuk kawasan, ada kaitkannya dengan keluarga saya.

“Sebenarnya selama setahun selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), ada banyak perkara yang saya buat khususnya saya memikirkan masa depan negara ini. Apa akan jadi dengan perpaduan negara, apa akan jadi dengan pemimpin dalam Parlimen yang sering bertekak dan tiada cadangan baik untuk dilaksanakan dalam negara, dalam tempoh kita berdepan ekonomi tidak stabil ini.

“Sudah beberapa kali saya ajukan cadangan supaya kita memberikan sokongan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, dengan itu ada rundingan untuk buat kerajaan campuran, itu pun tidak diterima. Sepanjang setahun ini, PN berusaha menggulingkan kerajaan, pujuk ahli Parlimen lain untuk menukar kerajaan.

“Usah-usaha itu menyebabkan ahli Parlimen pembangkang tak dapat peruntukan. Apa guna jadi wakil rakyat tetapi hanya mementingkan parti, tak pentingkan rakyat yang mengundi kita?” Soalnya.

Katanya, usaha-usaha menggulingkan kerajaan, meraih sokongan daripada parti-parti lain tidak berjaya, malah dua ahli Parlimen pembangkang (pada awalnya) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Jadi saya ambil keputusan, supaay rakyat bersatu padu, apa perlu kita berpolitik tanpa ada solusi yang baik. Jadi pada 28 November lalu, saya menyatakan sokongan kepada kerajaan. Saya nampak keikhlasan Perdana Menteri untuk membangunkan negara,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukannya dalam parti, katanya, beliau masih ahli Bersatu dan belum diambil apa-apa tindakan.

“Saya tak langar peraturan parti, tiada larangan sesiapa beri sokongan (kepada Perdana Menteri). Apa yang saya buat tidak melanggar perlembagaan parti. Kalau nak ambil tindakan, Jawatankuasa Disiplin parti akan putuskan, saya bersedia,” katanya. – 11 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

How is a ham sandwich ‘halal’? Akmal Saleh slams KK Mart outlet on UM campus

Umno Youth Chief says university students have lodged police reports over sandwich bearing halal stamp

Related