KUALA LUMPUR – Semua masyarakat di negara ini harus menerima realiti bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan kerajaan Madani akan melindungi sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang agama mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sentimen negatif yang mendakwa kerajaan Madani hanya eksklusif untuk orang Melayu dan orang Islam adalah tidak betul.
“Madani bukan konsep eksklusif, ia inklusif. Mesej dalam al-Quran adalah jelas. Kita harus melindungi semua orang dari semua kaum, wilayah dan kampung.
“Majoriti penduduk di sini beragama Islam dan Islam adalah agama Persekutuan. Orang bukan Melayu mesti menerima realiti ini.
“Mesej yang kami bawa ialah, marilah kita semua terbuka untuk belajar antara satu sama lain. Jangan ada syak wasangka dalam diri kita. Kami bukan anti Cina atau India atau sesiapa. Setiap orang ada agama masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog Malaysia Madani bersama Perdana Menteri sempena Majlis Perasmian Penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Perdana Menteri menjawab soalan hadirin yang bertanya mengenai harapan beliau daripada konsep Kerajaan Madani, sambil menambah bahawa sesetengah orang bukan Islam keliru kerana konsep itu sebahagian besarnya berkaitan dengan al-Quran.
Hadir sama dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusuf serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Sementara itu, Anwar berkata, pandangan masyarakat bahawa beliau dilihat berseorangan mengemudi bahtera kerajaan tanpa kerja pasukan jemaah menteri adalah persepsi semata-mata.
“Itu persepsi, kita lihat peranan setiap kementerian yang mengadakan mesyuarat setiap minggu… ekonomi, kerja raya, pendidikan, kesihatan, komiditi, perdagangan antarabangsa dan industri.
“Kalau kita lihat Miti (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) merekodkan ratusan bilion, menyantuni usahawa desa melalui karnival usahawan desa (KUD) ditingkatkan, aspek komoditi runding sampai Indonesia supaya eksport kelapa sawit ditingkatkan.
“Saya tidak terbabit secara langsung, saya memberi sokongan. Saya tidak dapat umumkan semua, namun semua ada usaha, saya tidak fikir dapat mencatat kejayaan tanpa pasukan yang mantap dan komitmen kepimpinan keseluruhannya,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, rakyat boleh menilai prestasi setiap kementerian melalui program setahun Kerajaan Madani.
“Kerana ada usaha dilaksanakan mereka mungkin tidak diberikan publisiti seperti mana yang diberikan kepada saya sebagai Perdana Menteri sebelum ini.
“Kerajaan sentiasa berikhtiar untuk meningkatkan prestasi termasuk dalam aspek perolehan kontrak yang lebih telus selain tiada seorangpun menteri yang direkodkan, disiasat kerana rasuah dalam setahun pentadbirannya.
“Pihak kementerian perlu menyebarkan kepada rakyat supaya mereka faham ini adalah kerja sebuah pasukan,” katanya. – 10 Disember, 2023