‘Ada budak beritahu, Zayn Rayyan berlari ke tingkat 3 Blok R sebelum hilang’

Datuk Zayn Rayyan memberitahu, cucunya mengalami perubahan tingkah laku tiga bulan sebelum kematiannya

2:44 PM MYT

 

PETALING JAYA – Sekumpulan kanak-kanak memberitahu Zahari Mohd Reba bahawa cucunya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, berlari ke tingkat tiga Blok R di mana dia tinggal dan dilaporkan “hilang” semasa operasi pencarian awal digerakkan.

Zahari, 55, memberitahu pemberita yang berkampung di Apartment Idaman, Damansara Damai, bahawa dia bergegas ke kawasan terbabit selepas mula-mula mengetahui Zayn Rayyan tidak dijumpai.

Zayn Rayyan dan ibu bapanya tinggal di tingkat dua Blok R.

“Apabila saya menyertai operasi pencarian, beberapa kanak-kanak di kawasan kejiranan membantu saya.

“Mereka memberitahu saya bahawa mereka terlihat seorang kanak-kanak berlari berhampiran Blok R. Saya menunjukkan kepada mereka gambar Zayn Rayyan, dan mereka berkata ‘Ya! Itu dia!’

“Mereka memberitahu saya dia berlari ke tingkat tiga, dan hilang,” kata Zahari.

Mengimbas kembali peristiwa itu, Zahari berkata, dia sedang makan tengah hari dengan bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan pada Selasa lalu ketika menantunya, Ismanira Abdul Manaf menelefon untuk memberitahu anak sulungnya itu hilang.

Tambah Zahari, Zayn Rayyan yang menghidap autisme tidak pernah dibiarkan bersendirian berkeliaran di kawasan apartmen itu, malah tidak akan berpisah dengan ibunya terutama ketika pergi ke sekolah dan ke taman permainan.

Apabila dia mengetahui mayat Zayn Rayyan ditemui, dia berlari ke arah tebing sungai dan menegaskan polis membenarkannya masuk ke kawasan yang dilarang kepada orang awam itu.

Keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin tinggal di tingkat dua Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai. – Azim Rahman/Scoop, 10 Disember 2023

“Saya berlari ke lokasi (penemuan mayat). Saya beritahu polis untuk benarkan saya masuk. Saya beritahu mereka, ‘Saya datuknya, jadi izinkan saya masuk’. Sebaik sahaja saya menghampiri, saya nampak cucu saya terbaring di tebing sungai.

“Ketika itu anak saya pengsan apabila mendengar berita itu. Saya pergi kepadanya untuk cuba menenangkannya,” katanya.

Zahari, yang juga pengurus produksi, turut teringat bahawa Zaim pernah memberitahunya bahawa Zayn Rayyan mengalami perubahan tingkah laku tiga bulan sebelum kematiannya.

“Saya kali terakhir bertemu cucu saya pada Sabtu lalu, di rumah saya di Subang Bestari.

“Anak saya memberitahu saya pada hari itu (Sabtu lalu) bahawa Zayn Rayyan menjadi agak agresif sejak tiga bulan lalu.

“(Lagipun), anak saya baru sahaja berpindah ke sini (Apartmen Idaman) tiga tahun lalu. Saya tidak fikir ada sesiapa yang akan membenci anak saya (dan keluarganya),” katanya.

Tambahnya, dia yakin dan memberi sepenuh kepercayaan kepada polis untuk mencari pelaku sambil menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu.

Turut kelihatan di Blok R hari ini ialah ibu bapa Zayn Rayyan serta seorang lagi anak lelaki pasangan itu dan ahli keluarga mereka yang lain.

Unit Forensik Selangor dan Bukit Aman tiba di lokasi kejadian pada jam 12 tengah hari ini.

Unit anjing pengesan, K9 turut membantu siasatan mencari bukti di kawasan kediaman Zayn Rayyan. – Alif Omar/Scoop, 10 Disember 2023

Terdahulu, polis meneruskan siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan dengan mengerahkan Unit K9 miliknya untuk melakukan pemeriksaan rumah ke rumah di Apartmen Idaman yang mempunyai 18 blok, terdiri daripada 2,484 unit rumah dan kedai.

Dua anjing K9, Gucci dan Ricks, mula membuat pemeriksaan bersama pengendali mereka seawal jam 10.30 pagi hari ini.

Kedua-duanya pertama kali dibawa ke tebing sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui pada malam Rabu lalu, kira-kira 36 jam selepas dia dilaporkan hilang.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi turut berada di lokasi kejadian bagi menyelia operasi itu.

Ini berlaku selepas polis melakukan pengumpulan sampel DNA mengejut daripada semua penduduk di apartmen tersebut, malam tadi.

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada lebih 20 individu dan berulang kali menyoal ibu bapa Zayn Rayyan, pengasuhnya dan individu pertama yang menemui mayat kanak-kanak itu.

Selepas mayat Zayn Rayyan ditemui pada malam Rabu lalu, polis mengklasifikasikan semula kematiannya sebagai kes bunuh keesokan harinya.

Polis juga sedang mencari petunjuk menggunakan dron untuk menangkap imej di kawasan itu, anjing pengesan dan meminta penduduk di apartmen tersebut untuk berkongsi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) mereka. – 10 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related