KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 30-an dilanggar Komuter di landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdekatan Pusat Dagangan Dunia di sini, pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Bomba dan Penyelamat KL, Mohd Rahmad Roslan, mangsa dipercayai menceroboh kawasan stesen Komuter Putra dan panggilan kecemasan diterima pada jam 10.58 pagi.
Ketika sepasukan tujuh anggota tiba, mangsa ditemui dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan di kepala.
“Kami berjaya mengeluarkan mangsa dari landasan pada jam 11.20 pagi dan memberikan rawatan awal kepadanya.
“Dia kemudian diserahkan kepada pihak ambulans dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan susulan,” katanya. – 10 Disember, 2023