PETALING JAYA – Kematian tragis kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, bukan sahaja dirasai keluarga, jiran dan masyarakat, malah pekerja kedai runcit di kawasan kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini.
Berkongsi cerita dengan Scoop, Maizatul Anis Mansor, 27, berkata, Zayn Rayyan kerap datang ke premis dia bekerja, bersama ibunya, Ismanira Abdul Manaf, 28, bagi membeli barangan keperluan harian.
“Saya memang cam arwah Zayn sebab dia selalu datang ke kedai dengan ibu dan adiknya, selalunya dalam dua atau tiga kali seminggu.

“Kebiasaan, arwah akan singgah pada waktu pagi sebelum ke sekolah dan ibu dia akan belikannya roti dan gula-gula kegemaran,” katanya yang bekerja sebagai juruwang.
Ditanya mengenai keperibadian Zayn Rayyan menerusi pemerhatiannya, Maizatul menyifatkan kanak-kanak itu sebagai anak yang baik dan mendengar kata ibunya.
“Saya perhatikan bila dalam kedai, sikapnya baik dan tak pernah tantrum (meragam). Dia pun tidak ada berlari-lari dalam kedai sebaliknya hanya mengekori ibunya.
“Saya pun baru tahu arwah Zayn kanak-kanak istimewa menerusi laporan media. Patutlah dia senyap sahaja setiap kali datang kedai,” katanya yang juga penduduk apartmen berkenaan.
Pekerja kedai runcit bersebelahan, Mohd Saiful Auliya, 24, turut berkongsi kisah sama dengan mengatakan, Zayn Rayyan sering menemani ibunya ke premis terbabit untuk membeli beberapa barangan dan makanan, termasuk jajan selepas pulang dari sekolah.

“Selalunya, Zayn dan ibu dia akan singgah ke kedai selepas waktu tengah hari apabila dia balik dari sekolah.
“Ibunya belikan jajan kegemaran Zayn macam gula-gula dan coklat yang selalu jadi kesukaan budak-budak,” katanya.
Terdahulu, Zayn Rayyan disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa lalu, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.
Usaha pencarian dijalankan polis dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anjing pengesan Unit K9, membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran dalam radius kira-kira 300 meter.
Dia kemudian ditemui tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, berhampiran kediamannya.
Menurut kenyataan polis, sungai berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah kanak-kanak itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media berkata, Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemui.
Susulan penemuan itu, polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi memburu suspek menerusi pelbagai kaedah.
Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 10 Disember, 2023