KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 100 lelaki Palestin yang ditahan tentera Israel dipaksa menanggalkan pakaian mereka, ditutup mata dan diarahkan berlutut di sebatang jalan di utara Gaza.
Berdasarkan imej dan video yang tular di media sosial, kesemua mereka dilihat menundukkan kepala ketika dikawal tentera Israel.
Wartawan Al-Jazeera, Alan Fisher yang melaporkan dari Baitulmaqdis Timur berkata, imej sekumpulan lelaki dalam keadaan tanpa berpakaian menggemparkan penduduk di wilayah terkepung itu.
Ramai daripada tahanan itu disahkan oleh ahli keluarga dan penduduk Gaza.
“Ada mengatakan seorang pelajar, pemilik kedai dan wartawan antara yang ditahan bersama-sama seorang lelaki dan dua anaknya,” kata Fisher.
Pengarah Pertubuhan Hak Asasi Manusia Al-Haq, Shawan Jabarin berkata, dia “terkejut” melihat imej yang mengingatkannya mengenai layanan terhadap tahanan dan tawanan perang semasa Perang Dunia II.
“Ini tidak berperikemanusiaan, ia sama dengan penyeksaan dan lebih daripada itu, ia adalah jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.
Media Israel giat menyebarkan propaganda mendakwa kira-kira 100 pejuang Hamas keluar dari terowong persembunyian dan menyerah diri kepada mereka semalam.
Sementara itu, warta Al-Jazeera, Imran Khan yang melaporkan dari Tel Aviv berkata, semalam beberapa rakyat Palestin yang ditahan dalam insiden itu sudah dibebaskan.
Menurutnya, salah seorang tahanan yang dibebaskan adalah seorang pemilik kedai yang tidak mempunyai kaitan dengan Hamas.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang mengulas mengenai insiden itu berkata, lelaki terbabit ditangkap dari sekolah-sekolah di bahagian utara Gaza yang menempatkan ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
“Mereka dihimpunkan dan ditanya bermacam-macam soalan.
“Di sebelah bandar Gaza, isteri menceritakan yang suami mereka ditembak beramai-ramai di depan mata,” katanya.
Katanya, Palestin sudah putus harapan dengan dunia apabila kekejaman Israel masih berterusan, malah keadaan semakin buruk.
“Di Telegram saya boleh lihat video lelaki dibunuh. Kalian tak perlu kongsikan gambar ini.
“Penduduk Palestin sudah pun putus harapan dengan umat Islam…dengan kita,” katanya.
Sehingga kini, lebih 17,100 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober lalu dengan majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. – 9 Disember, 2023