Menyamakan kerajaan pimpinan Anwar dengan munafik, zionis satu pemesongan fakta

Ahli-ahli politik Malaysia khususnya kalangan umat Islam dinasihatkan supaya menjauhi dan meninggalkan gaya politik kebencian

6:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kenyataan menyamakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan golongan munafik dan zionis Israel adalah satu pembohongan dan pemesongan fakta yang nyata.

Demikian ditegaskan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus merujuk kepada tulisan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Facebook bertajuk ‘Cara golongan munafik menentang Islam diikuti Israel dan Pakatan Harapan (PH)’.

Menurut Hasanuddin, adalah keterlaluan bagi seorang ahli politik veteran seperti Hadi terus mencurahkan minyak ke api dengan memberikan label dan perbandingan melampau kepada lawan-lawan politik.

Tambahan pula katanya, lawan politik yang disasarkan adalah pemimpin yang sedang mentadbir negara dan sentiasa berusaha memakmurkan negara.

Untuk itu tegas beliau, ahli-ahli politik Malaysia khususnya kalangan umat Islam dinasihatkan supaya menjauhi dan meninggalkan gaya politik kebencian.

Malah katanya, mereka sepatutnya terus berada di atas jalan ‘agama itu satu nasihat’ seperti sabda Rasulullah SAW, bermaksud: “Agama adalah nasihat. Mereka bertanya, untuk siapa (wahai Rasulullah)? Baginda menjawab, untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan umat Islam secara umumnya.” (Hadis Riwayat Muslim).

“Yadim ingin menyeru seluruh rakyat untuk berhati-hati dalam menerima dakyah yang membawa kepada pemikiran pelampau dan ekstrem terutama yang menyeru ke arah perpecahan dan menghukum saudara seakidah tidak bersama perjuangan Islam sedangkan percanggahan hanya khilaf pada sudut politik.

“Kita menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang mengingatkan umat Islam supaya tidak terjebak dan terlibat dengan usaha pembudayaan perbuatan melabel oleh sesetengah individu dan pemimpin politik tertentu kerana ia berbahaya serta menyalahi hukum syarak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu Hadi dalam tulisannya di Facebook berkata, konsep yang diguna pakai oleh PH menepati demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Kerajaan Hamas di Palestin yang memenangi pilihan raya dan mencapai majoriti yang mencukupi.

Namun katanya, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai kumpulan minoriti yang tunduk menjadi boneka zionis Israel dan Amerika Syarikat pula yang menubuhkan kerajaan dengan mengikuti telunjuk mereka.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti minoriti kini memimpin kerajaan boneka pragmatik liberal. Situasi ini sama seperti PLO yang mencapai keputusan minoriti diberikan hak bagi menubuhkan kerajaan dengan sokongan Israel dan Amerika Syarikat,’’ kata Hadi.

Hasanuddin berkata, pada permulaan hantaran tersebut, Hadi telah menyentuh berkaitan ayat al-Quran dari Surah Al-Munafiqun ayat 7.

“Sesungguhnya asbabul nuzul ayat ini mengisahkan tentang sikap dan perangai Abdullah bin Ubai bin Salul (bapa munafik) yang menghasut para sahabat daripada kalangan kaum Ansar dengan menyeru agar mereka tidak membantu dari sudut kewangan, sokongan moral dan lain-lain serta mengeluarkan Rasulullah SAW bersama-sama Muhajirin dari bumi Madinah. Allah SWT telah menempelak sikap munafiqun ini dengan menegaskan kepunyaan Allah SWT jualah perbendaharaan langit dan bumi.

“Menyamakan sikap munafiqun itu dengan kepimpinan Perdana Menteri yang kononnya menyekat dan tidak menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri di bawah pimpinan partinya adalah satu pemesongan fakta yang nyata. Ini kerana peruntukan kepada kerajaan negeri-negeri pembangkang disediakan dalam pelbagai bentuk dan saluran. (Rujuk peruntukan yang telah disalurkan kepada Negeri Perlis, Kedah, Kelantan & Terengganu dalam Belanjawan 2024).

“Jika demikian tuduhan beliau, adakah tindakan menyekat peruntukan khas ahli Parlimen pembangkang yang pernah dilakukan juga oleh kerajaan gabungan Tan Sri (Hadi) sebelum ini juga sama seperti sekatan yang dilakukan oleh zionis Israel yang bukan sahaja menyekat bahkan menghancurkan keseluruhan sosioekonomi dan kehidupan rakyat Palestin di Gaza?

“Tuduhan beliau kali ini seperti menepuk air di dulang terkena percikan ke muka sendiri. Ternyata kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan banyak salah faham dan penuh dengan sikap menggunakan dalil agama untuk kepentingan politik dan meraih keuntungan dunia semata-mata,” katanya.

Untuk itu katanya, Yadim menasihati seluruh pihak untuk tidak mengelirukan rakyat dengan menggunakan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah dengan memetik tanpa merujuk kepada asbabul nuzul dan konteks yang benar dan tepat.

“Islam menyeru kepada keharmonian dan keamanan sejagat. Islam bukanlah agama milik individu atau kelompok tertentu, tetapi agama daripada Allah SWT sebagai panduan penyelesaian kepada seluruh umat manusia. Kembalilah kepada ‘agama itu satu nasihat’,” katanya. – 8 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Ibu Zayn Rayyan dibawa ke mahkamah untuk rekod pengakuan: Polis

Ibu kepada Zayyan Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf dibawa ke mahkamah untuk direkod pengakuan di bawah Akta Keterangan 1950.

Related