Ingatkan premis biasa, rupanya stor haram simpan, pindahkan diesel bersubsidi

Sindiket itu menggunakan lori bonded diubahsuai dengan tangki tambahan, bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Lembah Klang

6:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dan merampas barangan bernilai ratusan ribu menerusi Ops Tiris dalam serbuannya di premis tanpa nama di Klang, Selangor, kelmarin.

Menurut Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam, premis itu dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi dalam tempoh tertentu.

Katanya, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa daripada KPDN Selangor bermula kira-kira jam 2.30 pagi, selepas pihak kementerian berkenaan menjalankan risikan selama dua minggu.

“Hasil maklumat awal, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan sebuah lori bonded diubahsuai dengan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Containers (IBC), bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Lembah Klang.

“Minyak diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit untuk dipindahkan ke sebuah lori tangka lain sebelum dijual di pasaran,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis berkenaan, pasukan serbuan menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan 12,100 liter, selain beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Dua lori, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan, disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM218,015.00,” katanya.

Azman berkata, empat lelaki, dengan dua daripadanya warga asing yang mengaku sebagai pekerja premis terbabit serta pemilik lori berkenaan, berumur antara 25 hingga 30 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, bagi mengenalpasti individu/syarikat terbabit, selain rantaian pengedaran minyak diesel itu, termasuk sumber ia diperolehi dan diedarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 Mac hingga 6 Disember lalu, sebanyak 14,529 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara,

Ujarnya, daripada jumlah itu, sebanyak 767 kes dihasilkan, membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM88.88 juta.

Manakala, beliau berkata, sebanyak 638 tangkapan dilakukan dalam tempoh sama membabitkan 531 warganegara, 105 warga asing dan dua pemastautin tetap.

“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan. Mana-mana yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta, bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya, tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Pada masa sama, syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613], iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah akta ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

“Kementerian juga akan sentiasa menggerakkan anggota penguatkuasanya dan memperhebatkan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan, bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa,” katanya.

Masyarakat, katanya, disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat, terutama berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi, bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi kerana boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi, menyalurkan aduan lengkap kepada pihak Kementerian.

“Aduan itu boleh disalurkan menerusi WhatsApp, 019-279 4317; portal e-aduan KPDN, http://eaduan.kpdn.gov.my; call centre, 1-800-886-800; email, [email protected]; aplikasi telefon pintar, Ez ADU KPDN; Bilik Gerakan Penguatkuasaan, 03-8882 6088 / 6245 dan kod QR aduan bekalan,” katanya. – 8 Disember, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Related