Malaysia meraih kembali suara global berkat usaha Kerajaan Perpaduan, Wisma Putra: Rocky Bru

Presiden NPC dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media itu turut menekankan kesan positif inisiatif pentadbiran itu, terutama terhadap keunggulan dan reputasi negara

9:39 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang mendapatkan kembali kegemilangannya di peringkat global, menandakan perubahan penting dalam kedudukan antarabangsa negara ini bagi tempoh dua dekad terkini.

Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Datuk Ahirudin Attan, memberikan penghargaan kepada usaha kerajaan Madani dan Kementerian Luar atas perubahan positif berkenaan.

Datuk Ahirudin Attan atau lebih dikenali sebagai Rocky Bru, menekankan impak daripada inisiatif Kerajaan Perpaduan, khususnya lawatan luar negara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, semua usaha diplomasi itu menghasilkan keputusan memberangsangkan untuk negara ini, malah menyaksikan Malaysia mendapatkan semula reputasi global pernah dipegang pada penghujung tahun 80-an dan awal 90-an.

Ahirudin yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media yang menerbitkan Scoop, mengimbas kembali era ketika Malaysia memainkan peranan penting dalam isu global, seperti menyumbang kepada penghapusan rejim aparteid di Afrika Selatan dan keterlibatan dalam Perang Bosnia.

Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Datuk Ahirudin Attan yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media yang menerbitkan Scoop, mengimbas kembali era ketika Malaysia memainkan peranan penting dalam isu global, seperti menyumbang kepada penghapusan rejim aparteid di Afrika Selatan dan keterlibatan dalam Perang Bosnia – Gambar Scoop, 8 Disember, 2023

“Ketika itu, sebagai seorang wartawan, saya sangat bangga untuk melancong ke luar negara dan beritahu rakan sejawat saya, bahawa saya adalah seorang wartawan dari Malaysia.

“Selama kira-kira dua dekad, kita kehilangan sedikit sinar. Kita kehilangan sedikit suara. Kita terserap ke dalam isu dan perkara lain.

“Dalam tempoh setahun lalu, rakan sejawat saya bersetuju bahawa Malaysia menunjukkan kemajuan hebat di arena antarabangsa.

“Saya sendiri mula membuat liputan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat pada September… dan saya pergi lagi (ke negara sama) untuk membuat liputan di Persidangan Apec (Asia-Pacific Economic Cooperation). Saya dapati kita mula mendapatkan semula suara itu,” katanya.

Ahirudin berkata demikian pada Majlis Penghargaan Media Wisma Putra di Royale Chulan di sini, malam tadi di hadapan Zambry dan pegawai-pegawai lain.

Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (tengah, berbaju batik hitam putih) bergambar bersama petugas media, termasuk Presiden NPC dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Big Boom Media, Datuk Ahirudin Attan (dua dari kiri, berjaket putih) di Majlis Penghargaan Media Wisma Putra malam tadi – 8 Disember, 2023

Wartawan berpengalaman itu mengaitkan kemajuan Malaysia dalam perkara terbabit dengan kewujudan ‘pasukan hebat’ yang mengendalikannya.

“Dan kepada anda Datuk Zambry, bagi mereka yang mengadu bahawa anda tidak sering berada di negara ini, memang tugas anda sebagai Menteri Luar untuk bercakap di luar sana, untuk kurang bercakap di negara dan lebih banyak bercakap di luar negara,” kata Ahirudin memaklumkan bahawa Zambry bekerja keras semasa lawatan kerja.

Pada masa sama, Ahirudin berkata, Wisma Putra dan media boleh meningkatkan interaksi kedua-dua pihak untuk manfaat negara.

Dalam semangat ini, beliau menyatakan NPC akan mengadakan siri kursus pembangunan profesional yang akan dilancarkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil minggu depan.

Bagi siri pembangunan 10 bahagian yang berlangsung sehingga Mac atau April tahun depan, Ahirudin menjemput Wisma Putra menghantar pegawainya untuk mengikuti kursus berkenaan, demi memupuk kerjasama antara media dan Wisma Putra.

Sementara itu, Zambry berkata, misinya adalah untuk menjadikan Kementerian Luar lebih mudah diakses media dan orang awam.

Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam ucapannya pada Majlis Penghargaan Media Wisma Putra berkata, misinya adalah untuk menjadikan Kementerian Luar lebih mudah diakses media dan orang awam – Gambar Bernama, 8 Disember, 2023

“Saya ingin memperkenalkan dasar baru, iaitu ‘Merakyatkan Wisma Putra’.

“Orang ramai ingin tahu apa kita lakukan. Kita bukan kelab eksklusif. Kita melakukan kerja penting dan orang ramai ingin tahu apa sudah kita capai dan apa lagi boleh kita capai,” katanya.

Zambry berkata, media memainkan peranan penting dalam menyatakan dasar luar negara kepada orang awam.

“Kita akan menjadi pengerusi Asean pada tahun 2025 dan ini adalah tanggungjawab penting,” katanya.

Menurutnya, sebagai satu daripada 10 negara yang dipilih untuk berhubung dengan negara asing, bagi mencari penamat kepada pembunuhan di Gaza, Malaysia diberikan pengiktirafan dan tugas penting.

Turut hadir pada acara itu adalah Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, Setiausaha Agung Wisma Putra, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani. – 7 Disember 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related