[Video] Umno tak tandus pemimpin ‘sesiapa jadi presiden perlu sedia hadapi serangan luar dan dalam parti’: Veteran Umno

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Parti keramat Melayu, Umno tidak pernah ketandusan kepimpinan terutama bagi mengisi jawatan presiden parti berkenaan, seperti dakwaan sesetengah pihak.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub yang memaklumkan, kebiasaannya mengikut hierarki, sekiranya berlaku sesuatu kepada presiden sama ada beliau meletak jawatan atau mengundur diri, timbalan atau naib presiden bakal mengganti tempatnya.

“Jadi kalau ada soalan siapa yang paling layak selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mengikut hierarki Umno tadi ialah timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan. Namun saya yakin peluang dalam Umno terbuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang bersedia memimpin parti itu.

“Tidak semestinya individu itu daripada ‘kandang’ Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ia mungkin boleh datang dari luar kandang, seorang tokoh mungkin selama ini tidak menonjol, tetapi orang ini layak untuk mentadbir Umno.

“Jadi kita tidak tandus dari segi kepimpinan, kalau kita sanggup beri peluang dan mencuba, tidak ada masalah, cumanya tradisi dalam Umno ini, yang nak naik ke jawatan presiden itu mereka hendaklah melalui langkah mengikut perlembagaan parti,” katanya dalam temubual bersama Scoop.

Beliau berkata, antara yang turut berpotensi diangkat sebagai presiden termasuklah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Besar Pahang yang juga naib presiden parti, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) antara individu yang boleh diangkat untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno – Gambar Facebook Johari Ghani, 11 Disember, 2023

“Sukar untuk sebut nama dan mereka ini mungkin terdiri daripada ketua-ketua bahagian sebab ada 191 ketua bahagian, sukar untuk ramal.

“Tapi kalau melihat dalam kandang Umno itu sendiri, selain Mohamad Hasan, yang mungkin boleh mendapat perhatian ialah Datuk Seri Wan Rosdy dan Datuk Seri Johari Ghani.

“Jadi ini mungkin tokoh-tokoh yang mungkin dalam kepala kepimpinan Umno bahagian yang mungkin boleh ditonjol ke atas sekiranya berlaku apa-apa kepada presiden,” katanya.

Namun Mustapha berkata, sesiapa pun yang bakal diangkat sebagai presiden, individu terbabit perlu bersedia untuk berhadapan dengan segala unsur-unsur serangan daripada dalam dan luar parti.

Beliau berkata, untuk menjadi Presiden Umno bukan mudah mahu menyenangkan hati semua pihak, yang mana Umno satu parti dengan jumlah ahli besar, 119 bahagian dan 21,000 cawangan di seluruh negara.

“Jadi siapa sahaja yang jadi presiden Umno, pertamanya dia akan diserang dari dalaman kerana tidak semua yang akan bersetuju dengan presiden, sama ada dia memang melalui pertandingan atau menang tanpa bertanding, sudah pasti ia tidak disenangi semua orang.

“Itu dari dalaman, dari luaran sudah pastinya, kerana mereka mahu melihat Umno ini terus lemah, melemah dan terkubur begitu.

“Sekarang terbukti bagaimana mereka-mereka ini daripada PAS, Bersatu menyerang Umno setiap hari untuk membuktikan bahawa Umno semakin hari semakin lemah.

“Cara ini juga mereka lakukan untuk menarik ahli Umno supaya meninggalkan parti dan bersama dengan mereka,” katanya.

Datuk Mustapha Yaakub turut menekankan sebelum terlambat pucuk pimpinan Umno perlu menyedari hakikat kemerosotan sokongan orang Melayu kepada parti itu – Gambar Scoop/Alif Omar, 11 Disember

Beliau turut menekankan sebelum terlambat pucuk pimpinan Umno perlu menyedari hakikat kemerosotan sokongan orang Melayu kepada parti itu.

“Saya nak sarankan sebelum terlambat, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum PRU-16, pucuk pimpinan Umno kena bersungguh sungguh
menginsafinya.

“Seperti kenyataan timbalan presiden, Umno masih gagal untuk diterima orang Melayu.. tahu pun, jadi kalau tahu, kenalah buat sesuatu, tak boleh kita hanya bercakap, mengeluh.

“Lakukan sesuatu, kita ada 45 ahli MKT, kita ada 119 bahagian, bagi tugas kerja ini kepada setiap MKT ini supaya turun ke bahagian, cawangan berjumpa juga dengan ahli, kena buat kerja sekarang.

“Bukan tunggu pilihan raya tanding lagi, untuk apa, kalau awak jadi presiden Umno pun, kalau parti dah haru biru, buat apa jadi presiden Umno. Gagah, kuat dan kukuhnya presiden kerana Umno itu sendiri diterima oleh orang Melayu,” katanya.

Dalam pada itu Mustapha berkata, sudah sampai masanya Umno kembali kepada perjuangan asal ketika menuntut kemerdekaan, dengan menanam ‘roh’ perjuangan Umno itu dalam kalangan anak muda.

“Mereka dilahirkan dalam keadaan kita mengisi kemerdekaan, setelah mengisinya sekarang ini sampai ketikanya seolah-olah mereka tidak kisah dengan perjuangan Umno dan pengisian kemerdekaan itu

“Jadi mahu tak mahu kita kena kembalikan semula roh perjuangan dalam Umno itu khususnya di kalangan orang muda supaya mereka betul-betul faham perjuangan Umno untuk negara ini sehingga berada pada tahap sekarang,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub berkata, reformasi menyeluruh perlu dilakukan bagi meremajakan semula Umno terutama membawa muka baharu dalam kepimpinan parti.

“Saya nampak kalau Mohamad Hasan dilantik atau memangku jawatan Presiden pun, rawatan kepada Umno itu hanya sedikit tidak dapat memperbaiki keparahan atau kesakitan yang dialami parti itu sekarang.

“(Jadi) peremajaan Umno perlu dilakukan , contoh bawa kembali (bekas Ketua Pemuda), Khairy Jamaluddin untuk jadi pemimpin pelapis kepada Umno, (itu) bukannya perkara yang pelik.

“Umno pernah buat perkara itu, misalnya Dr Mahathir pernah dibuang daripada Umno sebelum kembali sertai dan Umno kembali kuat malah beliau tadbir negara 22 tahun.

“Untuk memperbaiki pergerakan politik dalam Umno itu kena pinjam kata-kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, reformasi perlu dilakukan secara keseluruhan barulah Umno dapat kembali sembuh sepenuhnya,” katanya. – 11 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Tennis star Kyrgios enjoys Raya with family in Malaysia

Born Nick Hilmy Kyrgios, he boasts Malaysian heritage through his mother, Norlaila – affectionately known as Nil. 

Related