Hasrat PAS bekerjasama umpama nafikan dakwaan sendiri ‘sokong Umno masuk neraka, sesat’: Asyraf

Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia termasuk mengetepikan dakwaan bahawa memberikan sokongan atau bekerjasama dengan Umno ‘tidak masuk neraka’

12:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kenyataan pemimpin PAS bahawa ia tidak menolak kembali bekerjasama dengan Umno, seolah-olah menafikan segala kata-kata buruk, kecaman dan tuduhan pernah dilontarkan kepimpinannya terhadap parti diterajui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia termasuk mengetepikan dakwaan bahawa memberikan sokongan atau bekerjasama dengan Umno ‘tidak masuk neraka’.

“Apabila Timbalan Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Mat) sendiri menyatakan keinginan untuk bekerjasama semula dengan Umno, maka jelas (juga) sokong atau kerjasama dengan Umno ‘tidak sesat atau kafir’.

“Umno masih kekal Islam, tidak kafir, tidak toghut, tidak munafik sebagaimana ceramah-ceramah kempen mereka (PAS),” katanya secara sarkastik menerusi Facebook.

Pada tahun lalu, seorang pemimpin muda PAS dilaporkan mendakwa mana-mana pengundi yang memilih Pakatan Harapan (PH) serta Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 akan masuk ke neraka.

Manakala, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS pernah mengkafirkan Umno kerana bekerjasama dengan parti bukan Islam, tetapi kemudian merelakan PAS dikafirkan untuk menjalin kolaborasi bersama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula ketika berceramah dalam Pentas Anak Muda di Simpang Pelangai, Pahang dilapor menyifatkan kerjasama antara BN dan PH sebagai munafik.

Justeru, Asyraf menasihatkan semua pihak, termasuk pemimpin parti supaya bersederhana dan berpada-pada dalam berpolitik serta berparti.

Menurutnya, berbeza parti tidak sewajarnya dijadikan masalah sehingga memutuskan tali silaturrahim.

“Berbeza parti tidak harus pecah hubungan ukhuwwah sesama Muslim dan berbeza parti jangan sampai saling sesat-menyesat, memaki-hamun, apatah lagi memugar semula fenomena kafir-mengkafir yang memudaratkan.

“Sebab itulah Islam mengajar untuk sentiasa bersederhana dalam berkawan mahupun berlawan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak kerjasama dengan Umno di sebalik sejarah pahit hubungan mereka, susulan cadangan penyatuan untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya dibangkitkan Isham Jalil.

Menerusi kenyataannya pada Isnin lalu, Isham yang dipecat keahlianya sebagai ahli majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam berkata, Ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar boleh dilantik sebagai Perdana Menteri, sekiranya PN berjaya memujuk Umno bermuafakat semula sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 (PRU-16).

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak pernah mengetepikan agenda penyatuan ummah, namun sebarang kerjasama dengan Umno perlu melalui PN.

PAS dan Umno pernah memeterai Piagam MN pada 14 September 2019, dengan antara kandungannya menyaksikan kedua-dua parti bersetuju membentuk kerjasama bagi mengembangkan naratif Islam dan Melayu.

Kerjasama itu menetapkan ia tidak akan menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Bagaimanapun, MN dianggap berkubur apabila PAS mengesahkan menjalin kerjasama dengan Bersatu dalam PN pada 13 Oktober 2022, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Keputusan PAS itu melanggar syarat ditetapkan Umno, iaitu parti berkenaan perlu meninggalkan Bersatu jika ia mahu kekal dalam MN.

Semalam, Zahid pada sidang media di Bangunan Perdana Putra menyifatkan PAS sebagai ‘gila talak’ apabila menyuarakan hasrat untuk kembali bekerjasama dengan Umno menerusi platform Perikatan Nasional (PN).

Justeru, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menggesa PAS berhenti bermimpi di siang hari, selain menasihati parti Islam itu berdoa supaya berhenti ‘menipu’ Umno sekali lagi.

Malah, pendirian Zahid itu disokong beberapa pemimpin Umno, termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang menganggap isu kerjasama antara dua parti terbabit, tidak perlu dibangkit atau diadakan semula kerana ia ‘sia-sia’ dan tidak akan kekal.

Ujarnya, kolaborasi itu juga tidak akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak memandangkan asas kerjasama terbabit adalah politik.

Peluang untuk Umno dan PAS terus bekerjasama, katanya, sudah terlepas sejak MN gagal. – 7 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related