Kanak-kanak lelaki autisme yang hilang sejak semalam ditemukan meninggal dunia

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemukan pada jam 10 malam oleh penduduk setempat dengan bantuan anggota polis

8:26 AM MYT

 

PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak tengah hari semalam di Damansara Damai ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamanannya di sini, malam ini.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemukan pada jam 10 malam oleh penduduk setempat dengan bantuan anggota polis.

Beliau berkata Zayn Rayyan kali terakhir dilihat di rumahnya di Blok R, Apartment Idaman, Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, Petaling Jaya pada jam 12 tengah hari semalam.

“Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Pusat Perubatan Unversiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Mengulas sama ada kanak-kanak itu diculik atau sebaliknya, Mohd Fakhrudin berkata pihaknya setakat ini tidak mendapati sebarang unsur penculikan.

Mengulas mengenai keadaan mayat ketika ditemui, Mohd Fakrudin berkata mayat kanak-kanak itu dalam keadaan sempurna dan lengkap berpakaian sukan.

“ Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat khususnya masyarakat setempat yang membantu polis dalam operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak ini,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, yang juga penduduk setempat yang terlibat mencari kanak-kanak itu, Faizol Najib Abudi Naim, 45, berkata beliau melakukan solat Isyak dan solat hajat sebelum meneruskan usaha mencari Zayn Rayyan malam ini.

“Sebelum ini termasuk siang tadi, saya bersama rakan-rakan lain mencari dia di kawasan berhampiran sungai namun tidak jumpa tetapi hari ini (malam ini) hati saya tergerak untuk mencari di tempat yang sama.

“Saya guna lampu suluh di kawasan anak sungai dan nampak sekujur tubuh lalu terus saya terjun ke dalam anak sungai berkenaan,” katanya.

Faizol berkata beliau memanggil Zayn Rayyan kerana menyangka kanak-kanak itu keletihan kerana dilihat berada dalam keadaan mengiring.

“Saya panggil nama dia (Zayn) tetapi dia tidak menyahut, terus saya menjerit memanggil ambulans rupanya Zayn Rayyan sudah tidak bernyawa. Saya sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya. – 7 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related