Tidak benar Umno sanggup diperlakukan seperti ‘barua’

Keputusan Umno mendukung kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan adalah demi memastikan kestabilan negara

2:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tuduhan dilontar segelintir pihak bahawa Umno adalah barua lantaran terus mendukung kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar, malah mengguris hati ahli parti itu, terutama kepimpinan dan akar umbi.

Membidas tuduhan itu, Ketua Umno Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, label barua digelar pihak terbabit adalah tidak benar kerana dukungan itu diberikan susulan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Umno dalam Barisan Nasional (BN) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa semua 30 Ahli Parlimen Umno-BN mesti mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan.

“Keputusan ini tidak dibuat bersendirian kerana selepas itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membawa titah terbabit yang dibincangkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu, keputusan mesyuarat MKT Umno memutuskan menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya Umno-BN mendukung serta mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN), bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dan makmur dapat dibentuk.

Sharif Musa Sharif Mabul berkata, kekalahan BN dalam Pilihan Raya Kecil Kemaman baru-baru ini bukan ukuran orang Melayu menolak Umno dan menggelar parti itu sebagai ‘barua’ – Gambar Umno Online, 6 Disember, 2023

“Justeru, jangan jadikan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini, sebagai ukuran orang Melayu menolak Umno dan mengatakan ‘barua’ kerana ia adalah amat menyakitkan penyokong parti,” katanya kepada UMNO Online.

Sharif Musa berkata, dalam hal itu, beliau menegaskan bahawa tidak benar sama sekali Umno sanggup diperlakukan seperti ‘barua’, sedangkan parti berkenaan mempunyai aturan, Perlembagaan dan tataetika, malah sudah ditubuhkan sejak 70 tahun lalu.

“Umno pernah menjadi teraju kerajaan dan tampuk kepimpinan negara, keluar dari pelbagai kesulitan, pernah bergelar pembangkang dan kini setahun Umno/BN dalam Kerajaan Perpaduan, ia menujukkan peranan kita amat nyata dan negara kembali stabil selepas pelbagai krisis politik.

“Mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong, iaitu demi masa depan rakyat dan negara. DAP dalam Pakatan Harapan (PH), kita tidak boleh nafikan dan DAP tidak pernah menganggu kerusi Umno apabila ada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRK, berbanding PN yang akan mengambil kerusi tradisi UMNO,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak agar tidak terikut-ikut hal negatif kerana hanya akan memburukkan inisiatif pengukuhan Umno.

“Kita semua mesti berlapang dada, saling memberi penjelasan kepada akar umbi berkaitan keputusan yang kita terima, selain memberi cadangan baik untuk meneruskan perjuangan.

“Ingatlah, kemenangan dan kekalahan Allah SWT yang tentukan, jangan hanyutkan spiritual tidak benar. Kita perlu terus bermuhasabah dan berusaha bagi memenuhi kehendak rakyat, apatah lagi Umno adalah parti yang banyak jasa kepada rakyat Malaysia,” katanya. – 6 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related