Tun M tak kenang jasa, ‘jangan jadi tali barut, dulu kaya kerana…’ : Veteran Umno

Dakwaan Dr Mahathir bahawa Umno akan terhapus sama sekali pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) adalah satu andaian yang negatif

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Veteran Umno menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak mengenang jasa parti itu yang banyak membawa kesenangan kepadanya.

Pengerusi Veteran Umno Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, dakwaan Dr Mahathir bahawa Umno akan terhapus sama sekali pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) adalah satu andaian yang negatif.

“Ini pemikiran negatif, dia seperti tidak kenang jasa parti, dulu kaya raya kerana Umno, bila tidak lagi bersama Umno, kata parti dan ahli macam-macam.

“Umno tidak ada buat perkara buruk kepada dia pun, tapi dia sentiasa pandang buruk kepada Umno. Pada saya itu tidak kenang jasa. Walau marah sekali pun, jangan terlalu negatif dengan parti yang pernah dia sertai dan terajui.

“Jangan jadi alat untuk melemahkan parti yang pernah dia berjuang dahulu, (jangan) jadi tali barut, lebih (teruk) daripada tali barut Jepun,” katanya kepada Scoop, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir membuat dakwaan itu dengan menyatakan Umno hanya boleh diselamatkan jika berpisah dengan DAP dan kembali kepada perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

Othman berkata, bukan sahaja Dr Mahathir malah beberapa bekas pemimpin Umno turut menyerang institusi parti selepas tidak lagi bersama parti.

“Ada beberapa orang seperti ini dalam Umno, bila tak diterima mereka keluar Umno dan ‘kaw-kaw’ kutuk Umno sedangkan mereka lupa, diri mereka itu jadi pemimpin, terkenal semuanya kerana Umno.

“Kalau kata Umno akan terhapus, yang cakap itu bukan ahli nujum, kena bercakap sebagai seorang yang beriman. Kalau dulu kita tak pernah kata PAS itu boleh diterima rakyat, sampai dia (Dr Mahathir) kata PAS parti sesat dan macam- macam lagi. Tapi sekarang parti itu yang ‘dijilat’ balik,” katanya.

Selain itu beliau berkata, BN bersama DAP atas keperluan negara dan rakyat untuk membentuk kerajaan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tak perlu marah hubungan Umno dan DAP, majoriti orang Cina menyokong DAP, kalau kita marah DAP, sama macam kita marah Cina, mereka juga rakyat Malaysia.

“Cuma bagaimana kita bersahabat dengan DAP, ini kepandaian dan kebijaksanaan kita. Kalau kita rasa kuat seorang-seorang, hakikatnya kita kena berkawan.

“Sekarang politik berkawan, zaman politik seorang-seorang mendominasi sudah tidak (lagi) relevan,” katanya.

Othman juga masih berkeyakinan bahawa Umno akan bangkit dan terus bersama Kerajaan Perpaduan dan membela rakyat.

“Kita akan bina Umno, pemimpin datang dan pergi, walaupun kini ada kemerosotan tapi jangan jadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman itu sebagai kayu ukur. Di Johor kita menang, kenapa tidak cakap?,” soalnya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pandangan Dr Mahathir wajar diambil berat, sekiranya keadaan tidak diperbaiki dalam Umno, sokongan orang Melayu akan berterusan berpindah kepada PAS atau Bersatu.

Beliau berkata, peremajaan Umno perlu dilakukan dengan membawa muka baharu dalam kepimpinan parti.

“Peremajaan Umno perlu dilakukan, contohnya bawa kembali Khairy Jamaluddin untuk jadi pemimpin pelapis kepada Umno, (itu) bukannya perkara pelik.

“Umno pernah buat perkara itu, misalnya Dr Mahathir pernah dibuang daripada Umno sebelum kembali sertai dan Umno kembali kuat, malah beliau tadbir negara 22 tahun.

“Jadi untuk memperbaiki pergerakan politik dalam Umno itu kena pinjam kata-kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Reformasi perlu dilakukan secara keseluruhan, barulah Umno dapat kembali sembuh sepenuhnya,” katanya. – 6 Disember, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Zii Jia management, BAM should have kept mum on image rights, says sports analyst

Mohd Sadek Mustafa says such deals the norm among athletes

Related