Penulis politik akhbar Malay Mail, Zainal Epi meninggal dunia akibat penyakit jantung

Berita sedih itu dimaklumkan anaknya di kumpulan Whatsapp Allahyarham

9:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Penulis politik akhbar Malay Mail, Zainal Epi, 70, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, kira-kira jam 6 petang tadi.

Berita sedih itu dimaklumkan anaknya, Muhammad Hanif, 32, menerusi kumpulan Whatsapp Allahyarham Zainal.

Menurut mesej itu, jenazah Allahyarham terlebih dahulu dimandi dan dikafankan di IJN sebelum dibawa balik ke kediamannya di Wangsa Melawati selepas Isyak.

Katanya, jenazah bapanya itu akan dikebumikan esok dengan solat jenazah dilakukan di Masjid Al Mutaqqin Wangsa Melawati.

“Salam, bapa akan dimandikan and dikafankan di IJN. Setelah Isyak arwah bapa akan dibawa balik rumah.

“Jenazah bapa akan dikuburkan esok, sebelum itu akan disolatkan di Masjid Al Mutaqqin Wangsa Melawati,” katanya.

Perkara itu turut dikongsikan penulis dan penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar di Facebook miliknya yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Mohd Sayuti memaklumkan, Allahyarham dimasukkan ke IJN beberapa hari lalu selepas mengalami serangan jantung.

“Beliau kemudian ditidurkan. Takziah kepada isteri, anak dan seluruh keluarganya,’’ katanya.

Zainal meninggalkan isteri, Zainab Mohamad, 65, dan dua anak, iaitu Hanis, 38, dan Muhammad Hanif.

Seorang lagi anaknya, Muhammad Hafiz, meninggal dunia di London pada 25 Mac 2019 ketika berumur 24 tahun dan dikebumikan di kawasan perkuburan Islam Garden of Peace di timur negara berkenaan.

Muhammad Hafiz yang menuntut dalam bidang kimia di Imperial College London (ILC) dilaporkan ditemui meninggal dunia di Serpentine Lake, Hyde Park.

Sepanjang kerjayanya dalam bidang penulisan dan kewartawanan, Zainal dikenali sebagai penulis politik serta menjadi rujukan kepada wartawan muda, selain gemar berbincang mengenai landskap politik negara.

Malah Allahyarham sentiasa ada ketika Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau juga pernah menjadi kolumnis untuk beberapa portal dan selain Malay Mail, beliau berkhidmat di akhbar The Sun.

Sementara itu, Muhammad Hanif ketika dihubungi Scoop menyifatkan allahyarham ayahnya itu sebagai individu yang tidak pernah menyusahkan orang sekeliling dan sangat tenang.

Malah, katanya, Zainal juga sentiasa menasihatkan keluarga dan orang sekeliling supaya tenang walau berdepan apa sahaja masalah atau keadaan sukar.

“Ayah juga kuat dalam berdepan cabaran, tidak suka marah, senang diajak berbincang, selain orang penting yang selalu mengajar saya untuk jadi individu terbaik dalam apa saya lakukan.

“Dari segi kerja, ayah memang sangat bersemangat dan minat menulis isu politik. Walaupun usianya menginjak 70 tahun, ayah tetap suka menulis. Bila keluarga minta berehat tak payah lagi menulis politik dia akan kata tak boleh, jika berhenti dia ‘tak sihat’,” katanya Muhammad Hanif yang kini bertugas sebagai pengurus bank.

Ditanya jika ada anak yang mengikut jejak langkah Zainal yang mencintai dunia penulisan dan mempunyai bakat menulis, Muhammad Hanif berkata, ia diwarisi Nur Hanifah.

“Kakak sekarang ada bakat ayah, dia menceburkan diri sebagai ‘content writer’ (penulis kandungan) dan menjadikannya sebagai kerjaya,” katanya. – 5 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related